8.5 juta berisiko sakit jantung, strok

8.5 juta berisiko sakit jantung, strok

SAKIT jantung menjadi penyumbang utama kematian di Malaysia. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 35.9 peratus atau 8.5 juta individu dewasa di negara ini berisiko menderita penyakit jantung dan strok sekiranya tidak dirawat selepas dikesan menghidap sindrom metabolik.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menyaksikan sebanyak 41 peratus daripada penghidap sindorm metabolik itu tergolong dalam kumpulan B40, M40 (30%) dan T20 (35%).

Purata individu menghidap sindrom metabolik dalam kalangan mereka yang berusia 40 tahun iaitu 18 peratus daripada jumlah itu adalah perokok semasa dan 15 peratus peminum alkohol semasa.

Selain itu, 83 peratus mempunyai ciri obesiti abdomen atau kegemukan perut; 34 peratus kencing manis; 59 peratus tekanan darah tinggi dan 78 peratus paras kolesterol tinggi.

Difahamkan sindrom metabolik merupakan keadaan yang menggabungkan masalah tekanan darah tinggi, obesiti dan kadar kolesterol serta paras gula yang tinggi atau tidak normal.

Pakar Kesihatan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, pemakanan dan gaya hidup tidak aktif menjadi antara faktor utama seseorang itu dikesan menghidap sindrom metabolik.

Menurut beliau, ia terutama jika individu itu sering mengambil makanan yang mempunyai kandungan gula dan kalori tinggi, namun tidak meluangkan masa melakukan senaman,

“Namun, bukan mudah untuk dapat makanan sihat. Salah satunya kena masak sendiri atau dapatkan di restoran yang khusus menjual makanan sihat.

“Pada masa sama, kita risau golongan berpendapatan rendah (lebih memilih) makanan segera, dan makanan ringan sebab kekurangan kewangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, sebanyak 71 peratus penghidap sindrom metabolik berusia 60 tahun dan ke atas direkodkan manakala 57 peratus dalam kalangan mereka yang berusia 50 hingga 59 tahun; 41 peratus berusia 40 hingga 49 tahun; 30 peratus berusia 30 hingga 39 tahun dan 11 peratus berusia 18 hingga 29 tahun.

Dalam pada itu, sebanyak 45 peratus individu yang dikesan menghidap sindorm itu tiada pendidikan formal; 52 peratus (sekolah rendah); 35 peratus (sekolah menengah) dan 27 peratus (kolej serta universiti).

Mengulas lanjut, Sharifa Ezat berkata, masyarakat digalak untuk mengawal pemakanan dan mengamalkan gaya hidup aktif supaya kesihatan tidak terjejas.

Malah katanya, orang ramai disaran mengurangkan pengambilan karbohidrat pada sebelah malam bagi mengelak keadaan lemak tidak terbakar jika makan pada lewat malam.

“Seterusnya boleh juga amalkan puasa. Badan kita akan proses gula dan lemak terlebih (ketika puasa),” katanya.

Sementara itu, Pakar Kardiologi, Datuk Dr. Lee Boon Chye berkata, sindrom metabolik merupakan satu beban penyakit tidak berjangkit (NCD) yang paling besar di Malaysia.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Kesihatan berkata, ia terutama apabila Malaysia sedang menuju kepada negara menua berikutan peratusan dalam golongan tua itu lebih serius.

“Semua ini ada kaitan dengan perubahan gaya hidup dari segi pemakanan dan aktiviti harian. Jika sebelum ini Malaysia lebih kepada industri pertanian dan kebanyakan penduduk perlu bekerja sebagai petani, maka lebih aktif secara fizikal.

“Sekarang Malaysia menuju kepada negara berlandaskan perkhidmatan, jadi tidak ramai yang kerja memerlukan aktiviti fizikal, maka jika tidak ambil masa buat senaman, dia akan hidup tanpa aktiviti fizikal dan ini juga menyebabkan kepada sindrom metabolik.

“Selain itu, perubahan makanan. Sebelum ini penduduk lebih miskin, maka tiada pengambilan makanan lebih lumayan berbanding sekarang ini, jadi ini menyumbang kepada obesiti dan masalah berkaitan,” katanya.

Pada masa sama, Boon Chye optimis kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) berada pada landasan betul dalam menangani isu berkaitan sindrom metabolik.

Katanya, ini kerana pelbagai usaha dilakukan kementerian bermula dari peringkat awal sejak bayi lahir lagi.

“Kalau kita lihat masalah obesiti berkaitan sejak lahir, jadi kementerian galakkan menyusu badan kerana ia merupakan langkah pertama untuk kurangkan obesiti jangka panjang.

“Kedua, apabila mencapai usia kanak-kanak dan masuk sekolah, ada program kesihatan untuk elak obesiti, pendidikan berkaitan makanan seimbang serta menggalakkan aktiviti sukan dan ini berterusan sehingga ke peringkat universiti,” katanya.

Kata beliau, kementerian juga menggalakkan pengambilan makanan sihat menerusi menu suku separuh bagi menggalakkan makanan menu seimbang dan mengelak obesiti.

“Maksudnya, suku bahagian makanan itu adalah karbohidrat, suku bahagian protein dan setengah itu sayur-sayuran dan buah-buahan.

“KKM juga menggalakkan aktiviti 1,000 langkah sehari selain bimbingan dari sudut mengurangkan berat badan bagi mereka yang menghidap kolestrol, kencing manis dan hipertensi oleh klinik kesihatan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×