MELAKA: Teh tarik gula Melaka bakal menjadi produk pelancongan baharu yang diketengahkan sebagai tarikan pelancong sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, sebagai permulaan minuman ikonik itu boleh didapati di empat hotel iaitu Hotel Holiday Inn, Bayou Lagoon Park Resort, Hotel Sentral Melaka dan Hotel Sentral Riverview.
Beliau berkata, inisiatif memperkenalkan menu berkenaan merupakan idea Persatuan Pelancongan Melaka (MTA) yang bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi mempopularkannya.
“Gula Melaka amat signifikan di negeri ini kerana menjadi asas untuk cendol, onde-onde dan kuih keria. Jadi MTA mengambil inisiatif bagi memperkenalkan teh tarik gula Melaka.
“Insya-Allah jika mendapat sambutan menggalakkan, menu ini akan menjadi salah satu produk makanan atau sektor kulinari bagi menambah produk pelancongan sedia ada di negeri ini,” katanya pada majlis makan malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan MTA Ke-41 di sini, semalam.
Tambah Zaidi berkata, jika ia mendapat sambutan menggalakkan, Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) akan mengambil tanggungjawab memperkenalkannya kepada semua pemain industri pelancongan.
“Di bawah MTA mereka ada ahli dalam kalangan hotel, restoran, ejen pelancongan, hospital swasta dan pusat rekreasi untuk membantu mempromosikan teh tarik gula Melaka,” ujarnya – UTUSAN










