Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) merupakan satu detik paling pahit buat Barisan Nasional (BN). Sebilangan besar anggota komponennya meninggalkan, melarikan diri selepas hilang kuasa dan jawatan setelah hampir 60 tahun menikmati segala kenikmatan politik di bawah bumbung BN.
Itulah realiti dunia politik, kawan–kawan mula menjauhkan diri selepas kalah dan tersungkur. Agak sukar mencari definisi ‘kesetiaan’ dalam politik. Namun, di sebalik segala cerita ngeri PRU-14, MIC, MCA, UMNO dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) tetap bersama, bersatu di bawah naungan BN untuk meneruskan perjuangan dan surivival politik masing–masing.
MIC yang ditubuhkan pada 1946 sentiasa memiliki pegangan politik yang konsisten bersama BN sejak dahulu. Hari ini, MIC mengadakan Perhimpunan Agungnya Ke-74.
Walaupun MIC berdepan pelbagai cabaran politik sejak ditubuhkan sehingga sekarang khususnya dalam mempertahankan imej sebagai wakil tunggal masyarakat India di negara ini, ia tetap berdiri teguh bersama BN.
Tidak dinafikan, imej BN inilah juga memberi tamparan hebat terhadap MIC hingga wujud gelombang kebangkitan masyarakat India di negara ini pada 2007.
BERJALAN DALAM API
Sejak itu, masa depan MIC umpama ‘berjalan dalam api.’ Setiap keputusan dari PRU-12, PRU-13 dan PRU-14 menceritakan segala-galanya. MIC dikatakan sudah hilang pengaruh, kekuatan dan keyakinan masyarakat India di negara ini.
Kepimpinan MIC sudah beberapa kali bertukar sejak 2008 hingga 2018 disebabkan kekalahan yang teruk pada pilihan raya umum. Malah, serangan bertubi–tubi dilancarkan terhadap parti itu seperti ia akan hancur untuk selama-lamanya.
Ada juga desakan, tekanan yang kuat diberikan kepada MIC untuk keluar dari BN selepas gabungan itu hilang kuasa. Pelbagai cadangan, krititikan yang dilontarkan terhadap masa depan parti itu sekiranya terus bersama BN.
TIDAK TERGUGAT
Dalam situasi seperti inilah, Tan Sri S.A. Vigneswaran atau lebih mesra disapa Vicky yang dipilih sebagai Presiden MIC baharu pada 2018, dilihat tidak tergugat, terganggu ataupun hilang tumpuan untuk menentukan MIC berada dalam dalam landasan yang betul.
Sebagai bekas Ketua Pemuda parti itu, Vicky dilihat lebih tenang mengawal situasi dan ada ketikanya cukup lantang dan berbisa menyuarakan segala pandangan mengenai isu–isu politik semasa termasuk kedudukan dan hala tuju BN.
Di bawah kepimpinan Vicky yang juga bekas Presiden Dewan Negara , ‘aura’ parti itu dilihat lebih berwibawa dalam mempertahankan maruah, integriti di sebalik ketidaktentuan politik negara ketika ini, termasuk dalam memperjuangkan dan membela nasib masyarakat India.
HALA TUJU PADA PRU-15 ?
Persoalannya, apa hala tuju MIC menjelang PRU-15? Sudah bersediakah masyarakat India untuk menerima semula MIC? Apa komitmen MIC untuk Perikatan Nasional (PN)? Apakah MIC akan terus bersama BN ataupun akan ada satu jaringan politik yang baharu?
Tidak timbul persoalan sama ada MIC relevan ataupun tidak kerana dalam politik, apa juga boleh berlaku hari ini, esok ataupun hari yang berikutnya. Jasa MIC untuk masyarakat India tidak boleh dipadamkan ataupun dilupakan begitu sahaja. MIC tidak pernah lari ataupun mendiamkan diri. Tapi MIC juga perlu ingat, dalam kancah politik, setiap parti ketika ini sedang melalui ataupun melalui dilema masing-masing. Ya , kita sering juga dengar cakap-cakap kononnya MIC sudah tidak bernyawa, tidak relevan lagi dan macam-macam.
Ambillah iktibar. Ingatlah, setiap serangan, cabaran itu perlu dijadikan modal politik untuk bangkit semula. Jangan terlalu leka ataupun terlalu yakin kononya sudah kuat dan sebagainya. Ujian besar menanti anda di PRU-15 nanti.
Jangan sesekali akur ataupun tunduk kepada desakan pihak tertentu sekalipun datang daripada rakan sekutu anda. Pertahankanlah hak politik anda. Menang, kalah adat pertandingan dalam politik tapi jangan sesekali bersikap syok sendiri.
POLITIK DIGITAL
Saya akur, mungkin MIC tidaklah gah seperti di zaman era Tun S. Samy Vellu. Perlu diingat, landskap politik negara sudah bertukar. Situasi dan permainan politik tidak seperti zaman dahulu. Banyak sekali perubahan sedang berlaku setiap hari .
Sekarang era ‘politik digital,’ justeru MIC perlu mara ke depan seiring tuntutan zaman, keadaan semasa. Parti itu juga perlu memperkasakan imejnya dalam kalangan generasi muda dan baharu sekiranya mahu terus hidup dalam kancah politik negara.
MIC tak perlu dengar cerita orang lain. Ini adalah gelanggang anda, kuatkanlah saf dan jentera. Binalah kepimpinan yang diyakini dan diterima oleh masyarakat India dan rakyat Malaysia. MIC perlu membaca kehendak dan keinginan masyarakat seiring tuntutan semasa serta bersedia memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.
Kerjasama dan perpaduan adalah kunci kejayaan tetapi faktor ini hanya akan dicapai sekiranya semua pihak dalam parti melihat MIC sebagai milik bersama, bukannya dikongsi dan dikuasai sekumpulan kecil orang dalam parti yang menjadi pilihan pemimpin tertentu.
Sekiranya MIC mahu membuka lembaran baharu, tunjukkan kebangkitan itu melalui tindakan secara praktikal, bukannya teori sahaja. Sebagai parti tunggal mewakili masyarakat India di negara ini, mereka perlu bersedia memikul tanggungjawab yang diamanahkan dalam apa juga keadaan. Jangan mencari alasan ataupun menuding jari serta perlu bersedia belajar daripada kesilapan.
Kuasa di tangan anda.Selamat bersidang !
DATUK Anbumani Balan ialah penganalis politik.










