KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 minggu pertama melabuhkan tirai dengan pelbagai perkara serta penjelasan berhubung isu yang dihadapi negara.
Mesyuarat kali ini dilihat dihangatkan oleh blok pembangkang yang membangkitkan pelbagai isu mengenai tatakelola dan pentadbiran negara, bagaimanapun Kerajaan Perpaduan dilihat tidak agresif seperti sidang sebelum ini yang dikecohkan oleh Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) dan RSN Rayer (PH-Bukit Jelutong).
Hari pertama persidangan kecoh dengan tindakan pembangkang yang betindak keluar daripada Dewan Rakyat ekoran Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Dewan Rakyat juga digamatkan istilah kerajaan ‘lembu kenyang’ yang disebut Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) sehingga mencetuskan situasi kecoh ketika sesi perbahasan selepas Sesi Penerangan Menteri mengenai Pelaksanaan Penyasaran Semula Subsidi Diesel yang dilakukan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Selain itu, antara isu utama yang dibangkitkan semasa sesi perbahasan adalah mengenai penjualan pegangan saham dalam Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki BlackRock.
Pada awalnya, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak usul tergempar daripada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) iaitu bagi membahaskan penangguhan atau pembatalan penjualan saham MAHB itu.
Bagaimanapun, sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil memberi penjelasan bahawa Malaysia tidak sesekali menggadai prinsipnya menerusi perubahan pemilikan saham dalam MAHB kepada syarikat asing.
Sebaliknya, menurut beliau, MAHB selaku syarikat menguruskan semua lapangan terbang negara ini tetap menjadi milik tanah air apabila Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih pemegang saham majoriti dengan 70 peratus manakala selebihnya 30 peratus pegangan akan dimiliki GIP dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA).
Perkara ini sekali gus menepis dakwaan MAHB akan dijual kepada pihak asing dan tidak perlu dibangkitkan kerana ia kekal milik Malaysia.
Sidang ini juga menjadi tumpuan ramai ekoran persoalan mengenai status enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yangmasih tidak dijawab walaupun Johari Abdul mengesahkan sudah menerima notis daripada Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran).
Antara Rang Undang-Undang (RUU) kontroversi yang dibentang oleh kerajaan adalah mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) (Pembubaran) 2024.
RUU yang dibentang oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook itu untuk memansuhkan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771) dan membubarkan MAVCOM, seterusnya memindahkan segala fungsinya kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
MAVCOM yang ditubuhkan pada 1 Mac 2016 di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771) sebagai suruhanjaya penerbangan bebas yang bertanggungjawab mengawal selia aspek ekonomi dan komersial industri penerbangan awam serta perlindungan hak pengguna penerbangan di Malaysia, bermatlamat menjadikan industri penerbangan awam negara berdaya maju dari segi komersial, berorientasikan pengguna dan berdaya tahan.
Dalam pada itu, pembangkang melalui Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) sekali lagi membangkitkan mengenai peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.
Che Mohamad menggesa kerajaan untuk menyalurkan peruntukan kepada semua wakil rakyat pembangkang tanpa perlu melalui rundingan.
Beliau berkata, kerajaan sebaliknya boleh melaksanakan penguatkuasaan yang ketat bagi memantau ahli-ahli politik.
Selain itu, RUU Audit (Pindaan) 2024 turut dibentangkan di Parlimen selepas 33 tahun bagi memperkasakan lagi peranan institusi Ketua Audit Negara selaras dengan usaha Kerajaan Madani.
Jabatan Audit Negara dalam kenyataannya memaklumkan, RUU yang dibentang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said itu untuk menambah baik tatakelola negara dan akauntabiliti sektor awam.
Dewan Rakyat kemudian menangguhkan persidangan ke satu tarikh yang tidak ditetapkan. Bagaimanapun, mengikut takwim di laman rasmi Parlimen, Dewan Rakyat akan bersidang semula pada 1 hingga 4 Julai depan. – UTUSAN










