LIPIS: Nur Hazirah Mohd. Azmi, 30, resah memikirkan nasib dua anak lelakinya masing-masing tujuh dan lapan tahun yang menghidap autisme dan hemofilia manakala dia sendiri menghidap kanser usus tahap empat.
Nur Hazirah dari Kampung Binjai di sini berkata, keadaannya semakin lemah dan tidak mampu untuk menjaga dua anak lelakinya dan seorang lagi anak berusia dua tahun .
Suaminya, Zulkefli Johari, 33, yang bekerja sebagai penyelia ladang di Merapoh dengan pendapatan RM1,500 sebulan tidak cukup untuk membeli keperluan dapur, rawatan penyakitnya dan keperluan anak-anak.
Menurutnya, dia disahkan menghidap kanser usus tahap empat setelah menjalani diagnosis pada Mac lalu selepas kerap letih dan lemah.
“Sebelum ini saya juga sering pitam kerana kekurangan darah dalam badan. Jadi doktor nasihatkan untuk tambah darah di Hospital Kuala Lipis. Namun apabila kerap sangat berlaku lalu doktor meminta saya membuat pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan CT Scan (pengimbasan tomografi berkomputer) mengesahkan saya menghidap kanser usus tahap empat. Sel kanser ini merebak ke organ dalaman lain termasuk hati, paru-paru dan tulang,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
“Saya kini hanya terlantar setelah bahagian perut ditebuk untuk pemakaian beg stoma selain seharian cepat berasa penat dan letih,” katanya.
Dia berkata, anak sulungnya, Muhammad Zahin Hafizhan, 8, dan anak kedua, Muhammad Ziyad Hafiy, 7, yang disahkan menghidap autisme juga masih memakai lampin pakai buang kerana mereka tidak mampu menguruskan diri.
Orang ramai dan dermawan yang ingin beramal jariah bolehlah menghubungi Nur Hazirah Mohd Azmi menerusi talian 0129842375 atau sumbangan terus ke akaun Maybank bernombor 156114356703 atas nama Nur Hazirah.- UTUSAN









