MARAN: Seorang suri rumah dari Felda Anggerik Jengka 1 di sini bukan hanya runsing dirinya tidak lagi mampu membantu suami mengutip buah sawit relai tetapi juga dari mana mahu mendapatkan RM3,000 sebulan untuk merawat kanser payudara dihidapinya.
Mazni Yusof, 40, tidak menyangka disahkan menghidap kanser pada Mei tahun lalu apabila doktor di Hospital Jengka di sini mengesahkan penyakitnya sudah mencapai tahap tiga.
“Kesibukan menguruskan dua anak ke sekolah serta membantu suami Zamzam Mahat, 42, sebagai pekerja ladang sawit milik keluarga menjadikan saya terlupa tentang kesan awal kanser,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Felda Anggerik Jengka 1 di sini semalam.
Mazni berkata, dia kini menjalani rawatan kanser seperti membuat tapak ubat yang ditebuk melalui leher di Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh.
“Namun, ketika ini saya buntu memikirkan kos rawatan dan susu khas serta keperluan lain yang menjangkau lebih RM3,000 sebulan sedangkan pendapatan suami sekitar RM1,600 sebulan,” katanya.
Oleh itu, katanya, orang ramai yang sudi membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Islam bernombor 06037023041204 atau hubungi Mazni ditalian 0173808445. – UTUSAN









