Sindiket along rentas negeri tumpas

Sindiket along rentas negeri tumpas

ANTARA barang yang dirampas pihak polis semasa Op Vulture di sebuah kondominium mewah di Jalan Tun Perak, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis berjaya menumpaskan sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau along yang menyasarkan pelanggan sekitar negeri ini, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor selepas menahan tujuh individu dalam Op Vulture di sini, Selasa lalu.

Seramai enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 18 dan 48 tahun ditahan Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sebuah kondominium mewah di Jalan Tun Perak.

Turut dirampas wang tunai RM1,213, sebuah komputer riba, tiga komputer, 21 keping kad mesin juruwang automatik (ATM) dan 14 telefon bimbit pelbagai jenama.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, siasatan mendapati sindiket telah beroperasi sejak enam bulan lalu menggunakan kaedah pengiklanan pinjaman wang melalui laman sosial Facebook.

“Sindiket menggunakan nama profil Ling Ai, Yati Lee, Vivian Tan dan Nicole Len untuk memperdaya mangsa. Pelanggan yang berminat akan dihubungi melalui aplikasi WhatsApp untuk mendapatkan butiran peribadi sebelum pindahan wang dilakukan.

“Sindiket menawarkan pinjaman antara RM500 dan RM5,000 dan mengenakan faedah sehingga 20 peratus seminggu. Satu akaun dipercayai milik keldai akaun akan diberikan kepada mangsa untuk membuat transaksi pembayaran balik,” katanya.

Tambah Zainol, semakan mendapati empat suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau membabitkan dadah, penipuan, perjudian dan mencuri.

“Kesemua suspek direman empat hari bermula semalam hingga Sabtu. Kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 kerana kesalahan menjalankan perniagaan memberi pinjaman wang tanpa lesen,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×