AR-RAUDHAH
Setiap orang memerlukan hiburan agar tidak terasa terlalu tegang dan mengelakkan tekanan. Terkadang dengan bergurau atau makan angin, jumpa kawan, atau pun dengan kata-kata manis, senyuman dan sebagainya. Walaupun ia tidak bermakna hidup untuk berhibur, namun berhibur itu menjadikan hidup ini indah.
Agama Islam menggalakkan berhibur dan menghibur dengan cara yang tidak melanggar syariat. Dalam al-Quran disebutkan para nabi dan rasul Allah, umpamanya Rasulullah bila bersedih
Baginda dihiburkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya ketika dituduh pendusta, bomoh, tukang sihir dan penyair: Janganlah engkau sedih dengan kata-kata mereka.
Selain para nabi yang dihibur oleh Allah, terdapat seorang ibu yang risau akan keselamatan anaknya, iaitu ibu Nabi Musa a.s.
Betapa bernilainya perasaan hati seorang ibu sehingga Allah SWT menghiburkannya. Tentunya ini menjadi pengajaran besar bagi seorang anak untuk menjaga perasaan ibu, tidak menyakiti hatinya, bahkan hendaklah menghibur dan menggembirakannya.
Firaun yang risaukan akan kekuasaanya sanggup membunuh kanak-kanak yang tidak berdosa, memisahkan ibu daripada anaknya, hanya kerana kekuasaan di dunia yang sementara ini. Sama seperti kekejaman yang ada pada zaman sekarang, pemerdagangan anak kerana kemaruk cinta dunia tanpa ada perasaan belas kasihan atas perbuatan yang sangat keji ini.
Al-Quran menceritakan dengan beberapa senario di mana Allah menghibur ibu Nabi Musa dalam di antaranya:
- Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: “Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami
- Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong; sesungguhnya ia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah ia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah). (al-Qasas: 7-8)
- Dan Kami jadikan dia daripada mulanya enggan menyusu kepada perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (melihatkan halnya itu), kakaknya berkata: “Mahukah, aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya?”
- Maka (dengan jalan itu) Kami kembalikan dia kepada ibunya supaya tenang tenteram hatinya dan tidak berdukacita (disebabkan bercerai dengannya); dan supaya ia mengetahui bahawa janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (yang demikian itu). (al-Qasas: 12-13)
Pertama: Anugerah ketenangan di saat runsing yang mencekam dan tak tentu arah, keadaan kelam kabut dan panik menguasai perasaan ibu Nabi Musa, maka Allah SWT menghiburkannya dengan memberi ilham yang menenangkannya iaitu menyusui bayi itu agar terselamat daripada kepanikan si ibu.
Kedua: Berserah kepada Allah dan berharap kepada-Nya. Allah perintahkan untuk meletakkan bayinya di dalam sebuah peti dan melepaskannya ke laut.
Dalam pada itu Allah berfirman: “Janganlah kamu takut” iaitu ke atas keselamatannya jika dilepaskan di lautan yang terbentang luas, kerana Allah melindunginya daripada ombak dan segala bahaya lautan. Firman-Nya lagi: “Jangan kamu bersedih” kerana berpisah dengannya, kerana Allah akan menjamin keselamatan bayi dan ibunya.
Agar hati si ibu itu kuat untuk melaksanakan perintah maka Allah meyakinkannya dengan dua perjanjian iaitu:
Pertama: “Sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu”. Disebabkan keengganan si bayi menyusu daripada perempuan-perempuan yang akan menyusuinya, maka ia dikembalikan kepada ibunya untuk menyusunya. “Maka (dengan jalan itu) Kami kembalikan dia kepada ibunya supaya tenang tenteram hatinya dan tidak berdukacita”.
Kedua: “Dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami”, tidak hanya si ibu tahu kalau bayi itu selamat daripada pembunuhan tetapi diberitahu bahwa bayi tersebut akan menjadi Rasul di kemudian hari.
Jika seorang ibu dihiburkan oleh Allah dengan sedemikian lembutnya, apatah lagi seorang anak terhadap ibunya. Rasulullah SAW bersabda: Amalan yang lebih disenangi oleh Allah adalah menggembirakan hati orang beriman.
Jika menghibur hati seorang mukmin menjadi amalan yang disenangi oleh Tuhan apatah lagi seorang anak menghiburkan hati ibunya.
Namun, adalah menjadi tanda akhir zaman apabila banyak berlaku penderhakaan terhadap orang tua seperti yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW.
Seorang lelaki datang kepada Ibnu Abbas dan berkata: Sesungguhnya aku telah melamar seorang wanita, tetapi dia menolak lamaranku. Kemudian seorang lelaki lain pula melamarnya dan dia menerimanya. Hal ini membuat aku berasa cemburu, lalu aku pun membunuh wanita itu. Apakah aku masih boleh bertaubat?” Ibnu Abbas berkata: “Adakah ibumu masih hidup?” Lelaki tersebut menjawab: “Tidak”. Ibnu Abbas berkata: “Bertaubatlah kepada Allah SWT dan dekatkan diri dengan-Nya semampu yang boleh”. Maka Atha’ bin Yasar pergi kepada Ibnu Abbas seraya bertanya: “Mengapakah kamu bertanya kepada lelaki tersebut mengenai hayat ibunya? Beliau menjawab: “Aku tidak tahu perkara yang lebih dekat di sisi Allah selain daripada berbuat baik kepada seorang ibu. (Riwayat Bukhari).
Maka tidaklah menghairankan apabila dikatakan bahawa syurga itu di bawah telapak kaki ibu. “Ibumu syurgamu”.

Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah










