PETALING JAYA: Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong membidas Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng yang menuduh dua wakil rakyat parti itu cuba memboikot undian Rang Undang-undang (RUU) Mavcom (Pembubaran) 2024 semalam.
Presiden MCA itu berkata, kesemuanya 66 Ahli Parlimen tidak hadir untuk mengundi tetapi sangat pelik apabila DAP hanya pertikai ketidakhadiran dua Ahli Parlimen MCA sahaja.
“Mengikut logik Lim, jika dua Ahli Parlimen daripada MCA perlu dipindahkan ke blok pembangkang, maka adakah tempat duduk mereka yang tidak mengundi semalam antaranya termasuk YAB Perdana Menteri, YAB Timbalan Perdana Menteri, Nga Kor Meng dan Chow Kuan Yow daripada DAP juga perlu dipindahkan?
“YB Kepong, sebelum bercakap tu fikirlah dulu dengan waras. Jangan sampai nanti orang kata YB Kepong ni seperti ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’,” katanya dalam satu hantar di Facebook miliknya.
Ka Siong, juga menyatakan bahawa terdapat sembilan lagi wakil kerajaan yang tidak menyertai proses undian RUU itu.
Mereka ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof; Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming; Wan Azizah Wan Ismail (Bandar Tun Razak); Aminuddin Harun (Port Dickson); Chow Kon Yeow (Batu Kawan); dan Amirudin Shari (Gombak).
Semalam, Ahli Parlimen Kepong, Lip Eng mencadangkan agar kerusi dua ahli Parlimen MCA dipindahkan ke blok pembangkang apabila tidak berpuas hati kerana mendakwa dengan sengaja tidak mengundi sewaktu undian.
Persidangan Dewan Rakyat pada Rabu meluluskan pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) yang ditubuhkan lapan tahun lalu.
RUU berkenaan diluluskan menerusi undian suara selepas dibacakan buat kali ketiga oleh Anthony.- UTUSAN










