139 individu ditangkap dalam Op Dadu, Noda Khas di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

139 individu ditangkap dalam Op Dadu, Noda Khas di Negeri Sembilan

SEBAHAGIAN serbuan yang dilakukan pasukan polis dalam Op Dadu dan Op Noda Khas di sekitar negeri ini selama 14 hari bermula 10 Jun lalu.-GAMBAR/IHSAN POLIS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 139 individu termasuk 17 warganegara asing ditangkap dalam Op Dadu dan Op Noda Khas di sekitar negeri ini selama 14 hari bermula 10 Jun lalu.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Abd. Khalid Othman berkata, dalam operasi yang berakhir pada 23 Jun lalu itu, sebanyak 100 serbuan aktiviti perjudian dan 11 serbuan melibatkan kegiatan maksiat telah dilaksanakan di seluruh negeri ini.

Menurutnya, daripada jumlah tangkapan tersebut, 120 daripadanya terdiri daripada lelaki, manakala 19 wanita dari pelbagai bangsa termasuk 17 warganegara asing.

“Sepanjang tempoh operasi ini dilaksanakan, sejumlah RM20,220 wang tunai telah dirampas daripada aktiviti perjudian manakala sejumlah RM4193.80 wang tunai serta peralatan hiburan juga turut dirampas hasil daripada kegiatan maksiat yang dijalankan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abd. Khalid menegaskan pihaknya memandang serius terhadap sebarang aktiviti perjudian dan kegiatan maksiat dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam terjamin.

Sehubungan itu, sekiranya masih terkesan sebarang aktiviti perjudian dan maksiat, orang ramai bolehlah menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Polis Negeri Sembilan di talian 06-7682222.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×