PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan kini hanya mempunyai 17 pakar pembedahan kardiotorasik yang masih berkhidmat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, terdapat seramai 23 pelatih yang merangkumi 16 latihan kepakaran laluan Parallel dan tujuh Program Sarjana Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang sedang mengikuti latihan kepakaran pembedahan kardiotorasik.
Bagaimanapun, menurut beliau, kementerian sentiasa berusaha untuk mengatasi masalah kekurangan pakar pembedahan kardiotorasik dan antara langkah-langkah yang diambil adalah dengan memperkenal latihan kepakaran melalui Latihan Kepakaran Laluan Parallel pada 2014.
“Seterusnya pada 2020 UiTM mewujudkan Sarjana Perubatan Pembedahan Kardiotorasik. Inisiatif ini adalah bagi meningkatkan jumlah pakar pembedahan kardiotorasik,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai langkah Kementerian Kesihatan bagi mengatasi isu kekurangan pakar pembedahan kardiotoraksik bagi menyelesaikan rungutan masa menunggu yang lama bagi pesakit yang memerlukan pembedahan itu.
Mengulas lanjut, Dr. Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan sentiasa menambah baik untuk memperluas perkhidmatan kepakaran di fasiliti kerajaan kepada rakyat termasuklah kepakaran pembedahan kardiotorasik.
Katanya, antara inisiatif dilaksanakan dari aspek latihan bagi meningkatkan bilangan pakar perubatan dalam pelbagai bidang klinikal secara keseluruhan di seluruh negara dengan meningkatkan slot tajaan Hadiah Latihan Persekutuan daripada 1,500 slot setiap tahun kepada 1,650 slot pengajian bagi sesi 2024/2025 untuk menggalakkan lebih ramai pegawai perubatan melanjutkan pengajian dalam Program Sarjana Perubatan.
“Meningkatkan peluang latihan kepakaran perubatan supaya lebih ramai doktor pakar dihasilkan melalui Latihan Kepakaran Laluan Parallel di Kementerian Kesihatan yang menawarkan 600 slot tajaan,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan Datuk Dr Alias Razak (Pas-Kuala Nerus) yang meminta penjelasan kementerian berhubung perancangan kerajaan untuk meluaskan kursus pengajian kepakaran bidang kardiotorasik selain UiTM, Dr. Dzulkefly berkata, pihaknya akan mengatur perbincangan lanjut bersama pihak universiti awam.
Katanya, ia bagi memperkukuhkan pelaksanaan Program Sarjana Perubatan termasuklah untuk bidang Pembedahan Kardiotorasik.
“Perbincangan awal juga telah dilaksanakan pada bulan Januari 2024 bersama dengan pihak Majlis Dekan-dekan Fakulti Perubatan berkenaan perkara tersebut,” katanya. – UTUSAN










