PETALING JAYA: Orang ramai diminta tidak memutar belit fakta berhubung pelaksanaan penyasaran subsidi oleh Kerajaan Perpaduan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr. Sathia Prakash Nadarajah berkata, subsidi diesel tidak pernah dimansuhkan sebaliknya mekanisme itu diberikan dalam bentuk yang lebih bersasar khususnya kepada golongan memerlukan seperti B40 dan M40 selain peniaga serta pengusaha berkelayakan.
Menurut beliau, subsidi bersasar diesel yang dilaksanakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi manfaat kepada rakyat untuk jangka masa panjang.
“Ramai orang kurang faham (pelaksanaan subsidi bersasar), kita sendiri di pejabat penyelarasan sudah banyak membantu mendaftarkan (pemohon) dan ramai yang layak sudah mendapat subsidi diberikan.
“Oleh itu, jika ada mana-mana orang yang berdepan isu (memohon subsidi) datang kepada kami supaya boleh dibuat rayuan atau apa yang perlu. Jangan putar belitkan kepada masyarakat,” katanya menerusi klip video yang dimuat naik ke laman TikTok miliknya.
Perdana Menteri melalui Perutusan Negara pada Mei lalu, memaklumkan Kabinet bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel membabitkan pengguna di Semenanjung yang dianggarkan membawa kepada penjimatan sebanyak RM4 bilion setiap tahun.
Bagi membendung kenaikan drastik harga barangan dan perkhidmatan di Semenanjung, Anwar berkata, kerajaan akan menyediakan subsidi diesel kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel.
Kini, diesel sudah mula dijual mengikut kadar ditetapkan iaitu RM3.35 seliter di seluruh Semenanjung kecuali Sabah dan Sarawak yang masih menikmati subsidi secara pukal.
Mengulas lanjut, Dr. Sathia berkata, dengan pelaksanaan subsidi bersasar, pengguna perlu membayar harga minyak tersebut mengikut status masing malah mekanisme itu perlu untuk membantu golongan B40, M40 yang memerlukan.
“Apa yang penting subsidi diesel tak dimansuhkan, ia dibuat secara bersasar untuk kurangkan kos yang disalahgunakan, itu sahaja,” katanya.- UTUSAN










