[PARLIMEN] BNM laksana operasi intervensi pastikan ringgit stabil

[PARLIMEN] BNM laksana operasi intervensi pastikan ringgit stabil

LIM HUI YING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) melaksanakan operasi intervensi untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap  berlebihan bagi memastikan kestabilan ringgit dan pasaran pertukaran asing domestik.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, BNM mengambil langkah terselaras untuk menggalakan aliran yang lebih konsisten ke dalam pasaran kewangan domestik.

Menurut beliau, langkah-langkah itu termasuk menggalakkan penghantaran balik dan pertukaran pendapatan pelaburan asing oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang sudah membuahkan hasil terhadap prestasi ringgit.

“Di samping itu, BNM juga giat menjalankan sesi libat urus dan pemantauan penukaran hasil eksport kepada ringgit terhadap syarikat pengeksport.

“BNM akan meneruskan usaha untuk menggalakkan penggunaan mata wang tempatan dalam penyelesaian eksport bagi mengurangkan kebergantungan terhadap mata wang dolar Amerika Syarikat (AS),” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang memintanya menyatakan apakah sebab-sebabnya pada akhir-akhir ini nilai ringgit semakin kukuh berbanding dolar AS.

Dalam pada itu, Hui Ying berkata, negara terus merekodkan kejayaan dalam menarik pelaburan asing dengan pelaburan diluluskan melonjak pada suku pertama tahun ini.

Jelasnya, perkembangan tersebut menunjukkan bahawa pelabur semakin yakin terhadap perkembangan ekonomi negara dan usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan.

“Aliran masuk dana dan pelaburan asing ini dijangka berterusan dan seterusnya menyokong pengukuhan nilai ringgit.

“Dalam jangka masa panjang, kerajaan kekal komited dan fokus dalam usaha pelaksanaan polisi-polisi pembaharuan struktur dan pengukuhan fiskal.

“Hal ini dijangka dapat meningkatkan daya tarikan jangka masa panjang Malaysia kepada pelabur asing yang seterusnya akan menyumbang terhadap pengukuhan nilai ringgit,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×