Kelantan mahu SKMM bantu sekat judi dalam talian

Kelantan mahu SKMM bantu sekat judi dalam talian

HILMI Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat aktiviti perjudian secara dalam talian kerana pihaknya tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah berkata, bagaimanapun bidang berkata, hal ini kerana aktiviti tersebut bergerak secara rangkaian termasuk di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, kerajaan negeri bagaimanapun sentiasa serius dan tegas dalam memerangi kegiatan maksiat termasuk perjudian sama ada secara fizikal atau dalam talian, malah tidak pernah mengeluarkan lesen premis perjudian sejak tahun 1990.

“Kegiatan judi dalam talian ini beroperasi secara haram serta tidak berpremis. Sebaliknya dijalankan di sebalik perniagaan menjual telefon dan kad tambah nilai kerana ia memerlukan penggunaan ID dan tambah nilai wang taruhan.

“Untuk makluman, bidang kuasa berkaitan tangkapan dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan bukan lagi berada di bawah kerajaan negeri. Ia hanya boleh dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Hilmi memberitahu, pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara sentiasa melaksanakan operasi bersepadu bersama polis, SKMM serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam membanteras kegiatan perjudian.

Katanya, kehadiran PBT dalam operasi bersepadu adalah sebagai pegawai pelesen dan bidang kuasa kita hanya untuk memeriksa syarat lesen perniagaan.

“Dasar kerajaan negeri sebenarnya cukup tegas termasuk dalam kegiatan perjudian dan kerana itulah Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan digubal dan memasukkan seksyen berkaitan kesalahan judi di bawah bidang kuasa penguatkuasa agama.

“Ketika seksyen berkenaan masih berkuatkuasa, penguatkuasa agama boleh membuat tindakan dan tangkapan terus jika ada Muslim yang terlibat dalam kegiatan perjudian, manakala bagi orang bukan Islam adalah terpulang kepada bidang kuasa polis,” ujarnya.

Hilmi berkata, sejak tahun 1990 sehingga kini tiada premis perjudian dan alkohol beroperasi di negeri

“Malah lesen panggung wayang juga kita batalkan. Dulu penguatkuasa agama boleh ambil tindakan terus jika ada Muslim terlibat dalam kegiatan perjudian tanpa perlu menunggu PDRM.

“Namun sejak seksyen berkenaan dibatalkan, penguatkuasa agama sudah tiada kuasa untuk membuat sebarang tangkapan dan kehadiran mereka dalam operasi bersepadu hanya jika ada Muslim terlibat dalam kegiatan perjudian,” katanya.

Utusan Online sebelum ini melaporkan, Polis Kelantan mendedahkan daerah Kota Bharu menjadi ‘lubuk’  aktiviti judi dalam talian apabila sebanyak 37 kertas siasatan telah direkodkan oleh polis sepanjang tahun lalu.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×