KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza berdepan debaran sebelum melakukan konsert meskipun berpengalaman hampir tiga dekad dalam dunia seni.
Kata Siti, perasaan itu kekal hadir walaupun sebelum ini beliau pernah menjayakan lebih 60 konsert dalam dan luar negara.
“Walau pun telah hampir 29 tahun di dalam industri muzik, meskipun telah lebih 60 konsert di dalam dan luar negara saya lakukan, tetapi rasa berdebar-debar itu pasti ada.
“Kekuatan mental dan fizikal juga perlu bagi melagukan lebih 30 buah lagu melebihi 2 jam persembahan.
“Kualiti diri pada seseorang tidak hanya melihat indahnya bila berada di pentas, tetapi bagaimana diri ini harus menjadi naskhah yang terbuka, berdiri seorang diri, mengawal situasi dan berhadapan dengan ribuan malah puluhan ribu orang dengan 1001 perasaan dan pandangan,” tulisnya di Instagram.
Siti berkongsi luahan itu menjelang konsert Fenomena yang bakal berlangsung di The Star Theatre, Singapura pada 29 June ini.
Tulis Siti lagi, kepuasan peminat adalah penting dan cukup untuk membahagiakannya.
“Saya tidak ada apa-apa yang istimewa, hanya menjalani semuanya dengan sebaik mungkin.
“Menggerakkan senyum di wajah peminat juga sudah cukup membahagiakan saya,” kongsinya.











