NIBONG TEBAL : Manifesto bagi Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dijangka diumumkan Sabtu ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Pilihan Raya PH bagi kerusi tersebut iaitu Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid dalam satu ceramah perdana di Jawi di sini, malam tadi.
“Jadi, saya ingin menjemput semua pengundi dan masyarakat (di Sungai Bakap) untuk hadir pada ceramah mega yang akan diadakan nanti (malam Sabtu) untuk kita sama-sama mendengar apakah tawaran atau iltizam calon PH (Dr. Joohari Ariffin) buat Sungai Bakap.
“Dalam hal ini, kami, Exco-exco kerajaan negeri akan terus membantu Cikgu Joohari dalam memberikan khidmat dan kebajikan kepada rakyat Sungai Bakap,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Joohari memberitahu, usaha mendekati pengundi kelabu dan atas pagar akan terus diperhebat bermula hujung minggu ini dengan kerjasama jentera yang terlibat.
Menurut beliau, ini bagi memastikan lebih ramai pengundi dapat disantuni sepanjang kempen yang berbaki kira-kira sepuluh hari sahaja lagi.
Jelas Joohari lagi, selain rumah ke rumah, platform media sosial akan turut dijadikan ‘senjata’ untuk meraih undi terutamanya daripada golongan muda.
“Pendekatan ini kiranya seperti bercampurlah, mana-mana (pengundi) tidak boleh ikut ceramah, kita kunjung ke rumah manakala yang mana kita tak sempat ke rumah, kita sebar melalui media sosial.
“Kalau nak harapkan ceramah saja tak boleh sebab kadang-kadang, orang sama datang sebab seronok dengar kempen.
“Pendekatan campuran ini yang mana gabungan bertemu dan penggunaan media sosial adalah terbaik dan berkesan,” katanya.-UTUSAN










