Majlis Pembangunan Bakat Johor sedia tenaga mahir

Majlis Pembangunan Bakat Johor sedia tenaga mahir

ONN HAFIZ Ghazi menyampaikan sijil penyertaan kepada seorang peserta termuda pada Majlis Perasmian NTW 2024 di Kolej Universiti Selatan, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri berhasrat menubuhkan Majlis Pembangunan Bakat Johor bagi menyediakan tenaga kerja berkemahiran untuk membantu Johor mencapai negeri maju menjelang 2030.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, usaha itu juga selari dengan pelaksanaan inisiatif ekonomi berimpak tinggi, iaitu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang sedang dirangka dan bakal menyediakan sehingga 100,000 peluang pekerjaan.

“JS-SEZ ini akan menjadi pemangkin, katalis untuk pembangunan ekonomi bukan sahaja di Johor, malah di seluruh negara. Hasrat kita adalah untuk menjadikan negeri ini seperti Shenzen, China bagi rantau Asia Tenggara.

“Sehubungan itu, Johor mahu buat permohonan untuk ditubuhkan ‘Johor Talent Development Council’ yang dianggotai agensi kerajaan peringkat Persekutuan dan negeri. Kita juga cadangkan Kementerian Sumber Manusia menjadi sekretariat untuk jawatankuasa tersebut,” katanya semasa merasmikan National Training Week (NTW) 2024 di Kolej Universiti Selatan, di sini.

Onn Hafiz yakin visi menjadikan Johor sebagai negeri maju dapat dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak, termasuk rakyat.

“Namun begitu, saya berharap rakyat negeri ini khususnya golongan muda dapat mempersiapkan diri dengan kemahiran diperlukan, timba ilmu pengetahuan, ‘reskilling’ dan ‘upskilling’.

“Kita berhasrat untuk melahirkan lebih ramai anak muda negeri ini yang mempunyai kemahiran dan mendapat pekerjaan dengan gaji setimpal apabila tiba masanya kelak,” katanya.

NTW 2024 yang berlangsung selama seminggu bermula semalam bertujuan untuk memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat dengan menyediakan kursus berimpak tinggi menerusi kerjasama agensi kerajaan dan swasta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×