Mangsa serangan 7 Oktober di Israel saman UNRWA

Mangsa serangan 7 Oktober di Israel saman UNRWA

PESURUHJAYA Agung UNRWA, Philippe Lazzarini antara yang dinamakan sebagai defendan.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Puluhan warga Israel memfailkan saman terhadap Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) pada Isnin, kerana menuduh badan itu membantu dan bersubahat dalam serangan Hamas pada 7 Oktober, tahun lalu.

Menerusi aduan yang difailkan di Mahkamah Daerah di Manhattan, plaintif mendakwa, UNRWA menghabiskan lebih sedekad membantu Hamas membina ‘infrastruktur keganasan’ dan kakitangan diperlukan untuk serangan itu.

Plaintif menuntut ganti rugi yang tidak dinyatakan menerusi dakwaan ‘membantu dan bersubahat dengan Hamas untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan dan penyeksaan’, yang didakwa melanggar undang-undang antarabangsa serta Akta Perlindungan Mangsa Seksaan.

UNRWA enggan mengulas lanjut dan menyatakan pihaknya belum menerima tuntutan mahkamah itu.

Agensi itu menegaskan, pihaknya memandang serius tuduhan salah laku dan menamatkan perkhidmatan 10 kakitangan yang dituduh Israel terlibat dalam serangan itu, manakala dua lagi maut.

Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini dan beberapa pegawai serta bekas kakitangan agensi itu dinamakan sebagai defendan.

Plaintif adalah termasuk 101 orang yang terselamat dalam serangan itu atau mempunyai saudara mara yang terbunuh.

Walaupun banyak tuduhan dibuat oleh kerajaan Israel, plaintif mahu UNRWA bertanggungjawab kerana didakwa menyalurkan lebih AS$1 bilion (RM4.7 bilion) daripada akaun bank Manhattan untuk membantu Hamas, termasuk untuk bekalan senjata, bahan letupan dan peluru.

Plaintif turut menuduh UNRWA menyediakan ‘pelabuhan selamat’ kepada Hamas di kemudahannya dan membenarkan sekolahnya menggunakan buku teks yang diluluskan kumpulan pejuang itu, untuk mendidik kanak-kanak Palestin menyokong keganasan dan kebencian terhadap Yahudi serta Israel.

Mereka juga mendakwa serangan itu ‘boleh dijangka’ oleh defendan, sama ada mengetahuinya secara spesifik atau sebaliknya.

“Kami bercakap tentang orang yang dibunuh, kehilangan ahli keluarga dan rumah. Kami menjangka jumlah ganti rugi akan menjadi besar,” kata peguam plaintif, Avery Samet dalam satu temubual.

Serangan 7 Oktober lalu, membunuh sekurang-kurang 1,200 orang, manakala kira-kira 250 lagi diculik sebagai tebusan, berdasarkan pengiraan Israel.

Lebih 37,000 rakyat Palestin terbunuh sejak serangan Israel ke atas Gaza, menurut pegawai kesihatan di wilayah tersebut.

Sebelum ini, beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS) menghentikan pembiayaan kepada UNRWA selepas Israel mendakwa kakitangan agensi itu terlibat dalam serangan Hamas.- REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×