MOSCOW: Russia menyalahkan Amerika Syarikat (AS) atas serangan ‘biadab’ Ukraine di Crimea yang menggunakan peluru berpandu milik negara itu sehingga menyebabkan empat maut termasuk kanak-kanak, manakala 151 yang lain cedera.
Kementerian Luar Russia memanggil Duta Besar AS, Lynne Tracy pada Isnin dan menuduh Washington melancarkan ‘perang proksi’ serta menyatakan tindakan balas ‘pasti menyusul’.
Sejak Russia menyerang Ukraine pada Februari 2022, Moscow berterusan mendakwa sedang melawan perang proksi dengan Barat.
Bercakap kepada pemberita, Jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller berkata, Washington memberikan senjata kepada Ukraine supaya mereka dapat mempertahankan kedaulatannya dan Tracy menyampaikan kekesalan atas sebarang kehilangan nyawa orang awam.
Keputusan AS baru-baru ini, membenarkan Ukraine menggunakan senjata yang dibekalkan atas sasaran di dalam wilayah Russia, boleh meningkatkan risiko dan menimbulkan kesan mendalam.
Ahad lalu, Kementerian Pertahanan Russia berkata, serangan Ukraine ke atas Semenanjung Crimea dilakukan dengan lima peluru berpandu Sistem Peluru Berpandu Taktikal Tentera (ATACMS) yang dibekalkan oleh AS.
Katanya, empat daripadanya berjaya ditembak jatuh dan serangan kelima meletup di udara.
Menurut kementerian, Pakar AS menetapkan koordinat penerbangan peluru berpandu tersebut berdasarkan maklumat daripada satelit pengintipnya.
Bagaimanapun, tiada respons balas daripada Kyiv dan AS.
Jurucakap kementerian, Kremlin Dmitry Peskov menyifatkan serangan itu ‘benar-benar biadab’ dan Moscow akan bertindak balas terhadap penglibatan AS.
“Anda harus bertanya kepada rakan-rakan saya di Eropah, dan lebih-lebih lagi di Washington. Mengapa kerajaan mereka membunuh kanak-kanak Russia,” kata Peskov kepada pemberita.
Minggu lalu, Presiden Russia, Vladimir Putin bersetuju mewujudkan pakatan tentera dengan Korea Utara menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sekutu Barat.
Pegawai Russia memberi amaran perang Ukraine sedang memasuki fasa paling bahaya setakat ini.
Putin berulang kali memberi amaran mengenai risiko perang yang lebih meluas melibatkan kuasa nuklear dunia.-AGENSI







