SEOUL: Syarikat pengeluar bateri litium Korea Selatan, Aricell membuat permohonan maaf terhadap insiden kebakaran berskala besar kilang yang mengorbankan 23 pekerjanya, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aricell, Park Soon-kwan menegaskan, syarikat itu mematuhi semua prosedur keselamatan dan latihan yang ditetapkan.
Bagaimanapun, sebahagian daripada 103 pekerja di kilang itu, termasuk mereka yang maut adalah pekerja kontrak yang dihantar oleh syarikat tenaga kerja.
Kebakaran di kilang pengeluar bateri litium Aricell di Hwaseong, selatan Seoul berlaku sekitar 10.30 pagi (waktu tempatan), yang mengorbankan 23 pekerja, termasuk 17 warga China dan seorang warga Laos.
Kebanyakan mereka adalah pekerja kontrak di kilang pembungkusan bateri litium kelolaan Aricell, yang berpangkalan di Korea Selatan, sebahagian besar dimiliki oleh S-Connect (096630.KQ).
Susulan itu, Park mengucapkan takziah kepada keluarga pekerja yang maut dalam kejadian terbabit dan memohon maaf kepada mereka yang terjejas.
“Kami akan memberi kerjasama dalam siasatan pihak berkuasa dan akan melakukan yang terbaik untuk mengenal pasti punca kemalangan serta mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan insiden sama berulang,” katanya.
Pegawai dari agensi termasuk Perkhidmatan Forensik Negara, polis dan bomba bekerjasama menyelesaikan siasatan.
Sementara itu, Perdana Menteri, Han Duck-soo mengarahkan Kementerian Buruh dan Industri serta Agensi Bomba Kebangsaan untuk menjalankan pemeriksaan keselamatan segera.
Beliau meminta langkah segera turut diambil sekiranya terdapat kebimbangan berlaku kemalangan terhadap kebakaran berkenaan.- REUTERS










