KLANG: Sebanyak 2.06 juta batang rokok seludup dalam sebuah kontena dekat Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, di sini, dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II (Selangor) pada awal bulan ini.
Ketua Penolong Pengarah JKDM Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, rampasan dibuat selepas penahanan kontena terbabit pada 4 Jun itu membabitkan nilai cukai atau duti sebanyak RM1.54 juta.
Menurutnya, rokok tersebut dibawa masuk dan diikrar sebagai ‘Stretch Film’ dalam dokumen perkapalan bagi mengelak dikesan dan nilai dagangannya dianggarkan sebanyak RM164,600.
“JKDM membuat penahanan ke atas sebuah kontena bersaiz 40 kaki dan hasil pemeriksaan mendapati sejumlah rokok ditemukan dipercayai tidak mempunyai permit import.
“Rokok adalah barang larangan yang mana pengimportannya atau transit ke atasnya dibenarkan dengan syarat mempunyai lesen import. Syarat tersebut dijelaskan di bawah Butiran 66, Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya.
Jelasnya, kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
“Jika sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda sehingga 10 hingga 20 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 hingga RM500,000 mengikut mana lebih tinggi atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” tegasnya. – UTUSAN










