TUMPAT: Dua lelaki yang menyeludup petrol menggunakan kereta sedan jenis Proton Saga Iswara ditahan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) Kelantan dalam serbuan berasingan di sebuah stesen minyak di sini semalam.
Kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 40 dan 20 itu ditahan pada pukul 9.30 pagi semasa anggota penguat kuasa melakukan rondaan rutin mencegah penyelewengan bahan bakar bersubsidi tersebut untuk dibawa ke negara jiran.
Pengarahnya Azman Ismail berkata, untuk kes pertama KDPN Kelantan berkata, penahanan kedua-dua suspek itu membawa kepada rampasan minyak petrol sebanyak 125 liter bernilai RM256.25.
Menurutnya, kedua suspek kini ditahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk siasatan lanjut.
“Penahanan suspek pertama yang berusia 40-an itu membawa kepada rampasan minyak petrol sebanyak 50 liter.
“Untuk kes kedua pula, kita berjayan menahan seorang lelaki berusia 20-an dan merampas 75 liter minyak petrol,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Azman memberitahu, KPDN Kelantan akan terus melipat gandakan usaha dalam membanteras ketirisan barang kawalan di sempadan negara menerusi kerjasama dengan angen penguatkuasaan lain.
Katanya, pada masa sama KPDN turut mempergiatkan lagi pemantauan dan rondaan pencegahan ketirisan barang kawalan di stesen-stesen minyak sekitar radius 50 kilometer dari sempadan negara.-UTUSAN










