PETALING JAYA: Atlet terjun lelaki negara Ooi Tze Liang mengharapkan tuah untuk tersenarai ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas wujud kuota kosong (unused quota) ke temasya tersebut.
Perkara itu didedahkan pengarah teknikal sukan terjun negara, Bryan Nickson Lomas yang berkata, jika peluang keemasan itu memihak kepada Malaysia bermakna Tze Liang, 30, akan diberikan tanggungjawab itu berdasarkan pencapaiannya sepanjang musim ini.
Katanya, Akuatik Dunia (WA) hanya akan mengumumkan perkara itu pada 8 Julai ini.
“Dia (Tze Liang) memiliki peluang cerah untuk menggalas slot tersebut. Peluang memang tipis untuk saya bercakap mengenai skuad terjun ke Paris tetapi peluang itu masih ada.
“WA memberi mesej bahawa akan ada unused quota ke Paris. Sekiranya kami tidak meneima makluman daripada mereka (WA) sehingga 8 Julai bermakna kuota itu bukan lagi diberikan kepada kita,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Atlet kelahiran Pulau Pinang itu menjadi sandaran susulan pencapaiannya menduduki kedudukan 23 terbaik menerusi acara 3 meter (m) papan anjal individu lelaki Ketika Kejohanan Akuatik Dunia Doha, Qatar, Februari lalu.
Terdahulu, berita mengenai penambahan slot terjun negara ke Paris sepatutnya diterima pada awal Jun lalu, namun WA menangguhkan sehingga 8 Julai ini.
Sehingga kini, Bertrand Rhodict Lises wakil tunggal terjun negara menerusi acara 10m platform individu lelaki ke Paris. – UTUSAN











