MELAKA: Kisah ketokohan Laksamana Hang Tuah sebagai diplomat dan pelayar hebat akan diangkat ke layar televisyen dalam bentuk dokumentari sejarah.
Penasihat projek, Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, dokumentari itu bakal dihasilkan berdasarkan sumber-sumber baharu ditemukan para pengkaji.
Menurutnya, Fattah Amin yang terkenal dengan watak pendekar Melayu dalam beberapa buah filem sebelum ini dicadangkan untuk melakonkan watak Hang Tuah.
“Melaka akan menjadi antara lokasi penggambaran dokumentari ini. Ini kerana Melaka pernah menjadi ibu kota Kesultanan Melayu Melaka selain tanah tempat Hang Tuah mencurahkan baktinya,” katanya ketika ditemui pada Pameran Hang Tuah di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.
Tambah Mohamed Mustafa, ia masih di peringkat kajian lanjutan dengan bantuan pakar-pakar sejarah.
Jelasnya, projek dokumentari itu turut mendapat sokongan kerajaan negeri dan Institut Tun Perak.
“Dokumentari ini mungkin akan mengambil masa lebih dari setahun untuk dihasilkan kerana kita sedang mengumpul fakta sejarah. Kita mahu memaparkan watak Hang Tuah ini secara tepat dan jitu dengan mengambil kira sumber kajian dari dalam dan luar negara.
“Kita tidak mahu berlaku pertikaian selepas ia ditayangkan. Selain itu, jalan cerita juga tidak akan sama seperti filem-filem Hang Tuah terdahulu kerana kita mengangkat ketokohan beliau berdasarkan sumber-sumber baharu,” katanya. – UTUSAN










