Azeem, Shereen terlepas slot merit ke Olimpik Paris

Azeem, Shereen terlepas slot merit ke Olimpik Paris

MUHAMMAD Azeem Fahmi gagal meraih slot secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024-FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasrat untuk melihat jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dan pelari 400 meter (m) wanita, Shereen Samson Vallabouy layak ke Sukan Olimpik Paris secara merit tidak kesampaian apabila masing-masing gagal melakukan catatan masa yang ditetapkan di Terbuka Kazakhstan.

Azeem perlu membuat catatan masa 10.00 saat (s) untuk layak secara merit atau memenangi acara 100m sekurang-kurangnya 10.20s bagi memperbaiki kedudukan ranking gagal melakukannya selepas meraih gangsa dengan catatan masa 10.37s.

Emas menjadi milik pelumba dari Thailand, Puripol Boonson dengan catatan 10.23s manakala Kayhan Ozer dari Turkiye memenangi perak selepas menamatkan perlumbaan 10.25s.

Shereen pula walaupun memenangi emas namun gagal melakukan catatan masa 50.96s iaitu syarat untuk layak secara merit selepas menamatkan perlumbaan 400m dengan 52.60s.

SHEREEN Samson Vallabouy

Perak dan gangsa menjadi milik atlet tuan rumah, Anna Shumilo dan Milana Zubareva dengan catatan masa 56.01s dan 57.80s.

Mengulas lanjut mengenai prestasi dua atlet tersebut, Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard berkata, Azeem dan Shereen masih berpeluang menerusi slot penempatan atlet yang tidak layak.

Bagaimanapun, Azeem dan Shereen masing-masing perlu berada dalam kelompok 56 dan 48 terbaik sementara menunggu senarai slot tersebut.

“Sekarang masihi ada beberapa lagi kejohanan di seluruh dunia yang menawarkan tiket ke Olimpik Paris. Saya anggarkan Shereen berada di kedudukan 54 manakala Azeem 57 jadi sudah tentu kedudukan itu akan berubah.

“Untuk layak ke temasya tersebut ia amat teknikal. Terdapat slot penempatan atlet yang tidak layak. Namun, ia hanya boleh diketahui selepas senarai panjang dikeluarkan dan jika memperolehinya hanya seorang atlet dibenarkan.

“Ia bukan wild card dan slot penempatan atlet yang tidak layak hanya membenarkan atlet mengambil bahagian dalam 100m dan 800m sahaja,” katanya.

Dalam pada itu katanya, KOM masih belum memutuskan siapa yang akan mengisi slot ‘wildcard’ untuk ke Olimpik Paris yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

“Kami akan mengadakan perbincangan terperinci untuk memilih atlet terbaik bagi membawa nama Malaysia,” katanya-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×