KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Unit Pengurusan dan Penyampaian (PEMANDU) mengorak langkah menjalinkan kerjasama strategik untuk membantu badminton Malaysia kembali menjadi kuasa badminton dunia.
Menerusi kerjasama itu, Malaysia mensasarkan untuk berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik dunia dalam tempoh lima tahun dengan menjadikan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 sebagai pentas menuai hasilnya..
Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, kepakaran PEMANDU mampu memastikan Malaysia bersaing dengan empat negara kuasa badminton dunia pada masa ini iaitu China, Jepun, Korea Selatan dan Indonesia.
“Ini adalah salah satu tindakan yang saya rasa boleh dijadikan contoh persatuan yang membawa profesional untuk menunjukkan keikhlasan kami dalam setiap perkara yang kami lakukan untuk penambahbaikan.
“Mereka (PEMANDU) antara tiga syarikat yang besar, dan kami memilih mereka berdasarkan kredibiliti mereka sebelum ini.
“Kami membawa masuk PEMANDU kerana kami memerlukan profesional yang memahami cara melakukannya,” kataya ketika sidang akhbar jalinan kerjasama BAM dan PEMANDU, di sini, semalam.
PEMANDU diketuai bekas senator Dewan Negara, Datuk Seri Idris Jala, yang mana ia merupakan firma perunding pelbagai disiplin yang mengkhusus dalam transformasi sosio-ekonomi, pemulihan perniagaan dan komunikasi.
Sementara itu, Idris berkata beliau melahirkan rasa keyakinan bahawa matlamat ini tidak mustahil untuk dicapai dalam tempoh lima tahun ini
Jelasnya, Malaysia kini perlu melihat apa yang dilakukan oleh negara mapan seperti China, Jepun, Indonesia dan Korea Selatan untuk mendapatkan semula status mereka sebagai kuasa besar dalam badminton dunia.
“Lima tahun sudah cukup untuk PEMANDU. Pada masa ini, PEMANDU akan melalui tiga fasa iaitu analisis, perancangan dan pelaksanaan.
“Kita perlu mengkaji juga pesaing kita. Lihat apa yang dilakukan oleh Korea, China, Indonesia dan Jepun. Jika anda tidak memahami kekuatan mereka, anda tidak boleh mengatasi mereka,” ujarnya.
Untuk rekod, ini merupakan kali pertama PEMANDI menjalinkan kerjasama mereka bersama persatuan sukan kebangsaan. – UTUSAN










