Terdehak Mak Su Lijah

Terdehak Mak Su Lijah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kik…! Kik…!Kik…!
Bunyi burung perling menerjah ke telingaku.

Tiba-tiba aku kepingin benar untuk mendapatkan perling galak itu. Seperti mengidam pula!

Segera mendorong aku pulang ke rumah. Aku mengambil pembaling sebatang kayu nibung sebesar ibu jari tanganku. Lebih kurang panjangnya setengah depaku. Sungguh galak perling itu berbunyi lagi.
Kik…!Kik…!Kik…!

Kira-kira pukul 9.30 pagi itu, agak terganggu ketika kami menyimbang. Kami menyimbang di tepi jalan Kampung Lintang. Iaitu kampung kami. Di kepala titi rumah mak saudaraku, Mak Long Esah.

Di antara kami hanya Pak Long Imas saja yang berkeluarga. Dia adalah ‘bau-bau bacang’ dengan kami. Rumahnya kira-kira satu meter dengan rumah kami manakala aku, dan dua sepupuku, Abang Man serta Yahaya, masih belasan tahun. Pak Long Imas, hanya tumpang sekaki menyembang dengan kami, pagi itu.

Aku kalut pulang ke rumahku. Hanya selang setiti dengan rumah Mak Long Esah. Aku mencari kayu pembaling nibung. Yang aku simpan di celah bumbung atap gudang padi ayah. Tanpa bertangguh lagi aku mulai melangkah. Aku bersedia kejap memegang kayu pembaling nibung itu. Aku pijak batas perenggan bendang Along Sabran.

Prap…! Prap…!Prap…! Kakiku memijak batang menerung di situ. Serentak itu, aku terdengar jeritan Pak Long Imas. “Kalau dapat makan taik-taik!”

Pak Long Imas masih ulang lagi: “Kalau dapat makan taik-taik!” Kata-katanya itu, bagaikan melembing ke telingaku! Menusuk-nusuk. Seperti memperlekeh diriku. Seperti juga satu tamparan memperli diriku manakala kedua-dua sepupuku itu, mereka hanya membisu!

Kerana kata-kata itu. Aku mengumpul azamku. Lantas aku bertekad untuk membuktikannya. Jagoanku bangkit! Sekali gus mendorongku untuk membuktikan kejantananku!

Ha…Jangan pandang sebelah mata! Seolah-olah semangatku tumbuh padu!
Kik…! Kik…! Kik…!

Tiba-tiba bunyi burung perling yang galak tadi terhenti. Spontan menyepi! Seolah-olah perling menghidu kehadiranku di situ. Aku semakin mendekatinya.

Terhendap-hendap. Sekali gus mataku menikam kelibat perling berkenaan. Burrr…!!! Aku redah celahan pokok padi yang masih dara itu.

Aku tidak berlengah lagi. Apabila perling mengepak melonjak untuk terbang bebas. Aku terus sesah! Bertubi-tubi aku balun dengan kayu nibung di tanganku itu ke sasarannya.

Seekor burung perling berjaya aku membelasahnya. Beberapa pokok padi dara turut terjelipuk di situ. Di situlah juga tempat burung perling bersarang!

“Hey! Tenguk aku dapat!” Sambil aku mengangkat burung berkenaan. Aku terus berlari di atas perengan tadi, mendapatkan Pak Long Imas. Meminta dia tolong menyembelihnya. Kalut Yahaya mengambil pisau di rumahnya.

Sekali gus aku teringatkan kata-kata Pak Long Imas tadi:

‘Kalau dapat makan taik, taik!’ Aku simpan saja kata-kata perli Pak Long Imas itu. Tidak tergamak hendak menuntut perihal kata-kata ejekan Pak Long Imas kerana Pak Long Imas, menolongku menyembelih burung perling yang aku dapat tadi. Kalau tidak! Sudah tentu melepas niatku memakan daging perling balung merah itu.

Pada satu hari lain…

Tiba-tiba pelintas lain masuk. “Jom…Kita mengambat burung!” Ajak sepupuku Yahaya.

“Ok…Jom! Jadi…!”

“Bila?” Aku ingin memastikan masanya.

“Pagi ini…Kan malam tadi hujan lebat!” Tokok Yahaya lagi. Hujan lebat ada kaitannya dengan stiuasi burung-burung di petak bendang di Kampung Lintang kami. Sebelum mentari memijar. Kebanyakan sayap beburung basah. Kepaknya masih lemah. Menjadi kepayahan bagi setengah beburung untuk melonjak terbang. Ini peluang baik bagi si pemburu burung memburu mangsanya.

Kami lima sekawan, bersiapsiaga seperti askar combat memburu musuhnya. Kami mulai meredah petak bendang Mak Long Esahku. Sesuai dengan pilihan kami itu. Kerana petak bendang Mak Long Esah, rumputnya berlainan. Tidak sama dengan petak bendang orang lain. Orang kampung kami menggelarinya ‘rumput Jepun’. Sepadan dengan gelarannya itu. Ketinggian rumputnya hanya separas lutut. Mempunyai ubi. Ubinya seperti ubi

kemili. Agak kepedasan. Disamping itu, ketika menajak. Aduhai, rumputnya agak keras!

Termasuk kalau menanam padi. Oh! Agak sukar. Silap-silap hari bulan akar semaian mudah putus. Dan, silap-silap hari bulan pula mata kuku kambing, patah! Bagaimanapun. Ketika meredah di situ, seperti memijak padang bola sepak. Tidak berselut langsung!

Selepas menuai padi pula, petak bendang Mak Long Esah, menjadi pilihan kami.Kami sekumpulan anak muda, sepakat menebas dijadikan padang bola sepak di situ.

Sesuai. Memang sesuai kerana tidak berselut. Walaupun hujan. Setiap petang riuhlah kami bermain di situ. Walaupun sebelah-menyebelah hanya 12 orang saja. Kami tetap bermain. Di situlah tempat anak muda kampung melepaskan gian bermain bola sepak!

Dua petak bendang lain bersebelah dengan bendang Mak Long Esah itu. Turut mempunyai rumput yang sama. Seperti berjangkit. Ubinya pembawa biak. Pemiliknya seorang Cina, iaitu Ah Ban. Tiba-tiba sekawan belalang berterbangan di depan lorong Yahaya. Sepantas Yahaya memintas sambil berkeliling bulat. Mengepung! Dia berjaya menangkap seekor perling.

Tanpa menggunakan pembaling kayu nibungnya. Perling terkejut dengan tindakan pantas Yahaya tadi. Perling menyelam di celah-celah rumput Jepun itu. Hanya badannya yang terendam. Sebaliknya, kepala balung merahnya terjengul.

Perling bersaiz kecil sedikit daripada itik. Berkepak dan bulunya agak kehitaman. Dadanya ada tompok putih. Selain berstatus balung merah. Perling suka menyelam apabila terkejut. Persis itik. Daerah Krian Perak, mereka menyebut “burung panglin”.

Kami yang lain, masih belum meraih habuan masing-masing. Piew!…Melayang kayu pembaling Mastor. Pembalingannya tepat kesasarannya seekor sintar. Menggelupur. Cepat-cepat pisau Mastor menyembelihnya.

Diikuti. Purr…Sepantas di depanku seekor burung gelam melonjak untuk terbang Apa lagi kayu nibung di tanganku melayang mengenai sasarannya.

“Alhamdulillah! Rezeki!” Ujarku sambil menyembelih gelam berkenaan.

Selain batang pembaling kayu nibung, kami masing-masing turut membawa pisau kecil. Senang kami menyembelih burung nanti.

Kami masing-masing meredah beberapa petak bendang berdekatan kampung kami. Sedar tidak sedar. Matahari mulai memijar. Kami sepakat mengakhiri buruan kami itu di petak bendang Along Dahalan. Along Dahalan ialah guru kami mengaji mukadam dan al-Quran. Suara nyaring Along Dahalan, boleh didengari hingga ke hujung bendang. Memang mulutnya terlalu hampir dengan teliga kami.

Batang menerung di petak bendang Along Dahalan, separas kepala kami. Kerana petak bendangnya agak dalam agak sukar kami meredahnya. Langsung aku teringat. Aku pernah turut berderau bersama penduduk kampung menanam padi di bendang Along Dahalan. Kami turun 20 lelaki dan perempuan. Kami membantu menyudahkan menanam padi di bendangnya. Lebih kurang seekar luasnya. Kerana khidmat Along Dahalan, selaku guru al-Quran di kampung kami. Boleh dikatakan kebanyakan kanak-kanak di kampung kami, khatam al-Quran dengannya.

Kini, kami berada di batas jalan kampung. Di tangan masing-masing memperoleh habuan burung ketika mengambat tadi. Yahaya dan Mastor, masing-masing memperoleh lima burung. Yahaya lima perling balung merah manakala Mastor pula empat ekor perling balung merah. Dan, seekor sentar.

Yahaya dan Mastor, bolehlah diketegorikan sebagai juara mengambat burung di bendang. Jarang-jarang mereka berdua balik tangan kosong! Diikuti Kamarudin dan Sabeli, masing-masing berjaya membaling dua ekor perling yang sama. Aku. Akulah paling tercorot berbanding mereka. Seekor gelam yang kurus aku peroleh. Jadilah! Dari tidak dapat langsung!

Terpotong di situ. Dari sudut lain pula, Dari jauh telinga Pak Su Yaakub, menangkap bunyi…
Kik…!Kik…!Kik…!

“Ini peluang baik…!” Kata Pak Su Yaakub, antara dengar antara tidak. Pak Su Yaakub menyusup bawah rumahnya. Mencari sebatang pembaling kayu nibung. Kayu nibung itu terselit celah-celah rasuk bawah rumahnya.

Pak Su Yaakub, mengatur langkah di jalan kampung kami itu. Sambil meneliga mencari suara perling yang galak berbunyi tadi. Kadang-kadang bunyinya agak riuh!

Sah bunyi suara perling di petak bendang Along Sabran.

‘Oh! Di sini rupanya,’ bisik hati Pak Su Yaakub.

Pak Su Yaakub, anak bongsu Pak Uda Arof. Menjadi kelaziman orang kampung kami, turut membahasakan panggilan itu kepada dirinya. Termasuk kami anak-anak muda di situ. Langkah Pak Su Yaakub berumur 30-an itu agak perlahan. Tangan kanannya kejap memegang pembaling kayu nibung itu. Saiznya sama dengan kayu nibung orang lain. Bagi Pak Su Yaakub, pembaling kayu nibung kesayangannya itu. Ada petanda terbaik. Banyak berjasa kepadanya. Kerana selalu tepat pembalingannya. Tidak menghampakan Pak Su Yaakub. Jarang menghampakannya memperoleh berpuluh perling dan burung lain sebelum ini.

“Tekak rasa meloya. Tak lalu makan. Makan. Muntah balik!” Kata Mak Su Lijah, selepas makan malam bersama suaminya, Pak Su Yaakub. “Tapi,” terhenti kata Mak Su Lijah. “Teringin pula rasanya nak makan daging burung…!”

“Ada orang cakap daging burung perling balung merah. Sedap. Agak-agak boleh dapat tak?” Tokok Mak Su Lijah yang baru menjengkau umur 26 tahun itu kepada suaminya yang hanya berkain pelikat.

“Tengok esok,” kata Pak Su Yaakub, untuk menyedapkan hati Mak Su Lijah.

Semakin mendekati perling. Langkah kaki Pak Su Yaakub, bagitu cermat. Cermat sungguh!
Kik…! Kik…! Kik…!

Riuhnya. Bergoyang-goyang padi dara di situ. Seolah-olah burung perling sedang bergaduh besar. Semakin hampir. Mata Pak Su Yaakub menikam kelibat perling. Dia mengumpul tenaganya untuk mensesah perling itu.

Burrr…! Buruan Pak Su Yaakub, tiba-tiba terhenti. Terpaku di situ. Dia dibalun debar. Seluruh badannya menggeletar. Berderau darahnya. Sekali gus dia hanya mampu mengucapkan: “Astghfirullahhilazim!”

Spontan Pak Su Yaakub, berkalih. Berpatah balik. Sekali gus menyusun langkah seribu. Berlari sekuat hatinya. Di celah-celah padi dara. Hingga kakinya terpijak batang padi dara di situ. Terjelipuk padi dara itu, dek dipijak kaki

Pak Su Yaakub. Kadang-kadang badan Pak Su Yaakub hendak melayah. Hendak tumbang! Berlari tetap berlari.

Dia terhenti di tangga beranda rumah kami. Dia tidak perasan menyeberang titi kami tadi. Tercungap-tercungap Pak Su Yaakub. Menahan dibalun debar tadi. Kebetulan Makku berada di situ. Makku kalut melontarkan pertanyaan.

“Awat Kub?”

“Ada ulak!” Kata Pak Su Yaakub, yang masih pucat lesi wajahnya. Debarnya masih membelit. Dia masih terkejut. Lama juga Pak Su Yaakub, berkeadaan begitu.

Menurutnya ada seekor tedung senduk sedang ‘berperang’ dengan dua ekor perling. Perling betina mempertahankan beberapa butir telurnya. Sebatang perdu batang padi dijadikan sarangnya untuk bertelur di situ. Ketika pertarungan hebat itu, tidak disangka-sangka pula Pak Su Yaakub, turut muncul secara tiba-tiba di situ! Kalau Pak Su Yaakub, terus menerpa tadi, mungkin sesuatu perkara buruk akan berlaku kepadanya.

Pak Su Yaakub, mengurut dadanya yang berombak kencang! Ketakutannya ke paras 100 peratus tadi, ketika bertembung dengan tedung senduk di situ! Langsung terputus hajatnya mendapatkan burung perling balung merah! Sekali gus juga terdehak Maksu Lijah mengidam perling balung merah. Mak Su Lijah, yang baru lima bulan mengandung anak sulung turut terbelit kecewa! Kempunannya mulai bersarang!. –UTUSAN

Glorasi:
Bahasa Utara Perak:
1. Mengambat (memburu atau membaling burung)
2. Terdehak (terbantut)
3. Berderau (bergotong royong)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×