Scientex catat untung bersih RM130.5j pada suku ketiga

Scientex catat untung bersih RM130.5j pada suku ketiga

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluar pembungkusan global dan pemaju hartanah, Scientex Berhad (Scientex) merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM130.5 juta pada suku ketiga berakhir 30 April 2024, berbanding RM109.8 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya. 

Pertumbuhan sebanyak 18.9 peratus tersebut hasil sumbangan yang lebih baik merentasi bahagian pembungkusan dan pembangunan hartanah.

Bagi suku sama, hasil kumpulan meningkat 11.1 peratus kepada RM1.1 bilion daripada RM997.1 juta sebelumnya.

Scientex berkata, bahagian hartanah menerajui pertumbuhan keseluruhan suku tinjauan dengan pendapatan segmen meningkat 24.7 peratus kepada RM451.1 juta, didorong oleh kemajuan pembinaan yang stabil untuk pembangunan rumah mampu milik di seluruh Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, bahagian pembungkusan mencapai peningkatan hasil sebanyak 3.4 peratus kepada RM656.9 juta daripada RM635.4 juta sebelumnya, berikutan peningkatan eksport industri dan pembungkusan pengguna.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama, hasil meningkat 10.0 peratus kepada RM3.3 bilion daripada RM3.0 bilion dalam tempoh tahun sebelumnya, manakala untung bersih meningkat 26.6 peratus kepada RM409.4 juta daripada RM323.2 juta sebelumnya.

Scientex mengisytiharkan dividen interim sebanyak 6 sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Julai 2024 mewakili jumlah pembayaran RM93.1 juta kepada pemegang saham yang akan dibayar pada 19 Julai 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Scientex, Lim Peng Jin berkata, Scientex mengekalkan pendekatan yang seimbang terhadap pertumbuhan, mempercepatkan kadar hartanah baharu dilancarkan untuk memenuhi permintaan yang kukuh.

Katanya, pihaknya juga terus memperoleh tanah secara strategik untuk mengembangkan akses perumahan mampu milik ke seluruh Semenanjung Malaysia.

“Pada masa yang sama, kami meningkatkan daya saing bahagian pembungkusan kami melalui operasi kecemerlangan, pengoptimuman kos dan pembangunan inovatif serta penyelesaian berpusatkan pelanggan, termasuk portfolio pilihan pembungkusan mampan yang semakin berkembang.

“Pendekatan pelbagai aspek ini disokong oleh daya tahan yang berterusan dalam kedua-dua segmen, meletakkan kami dalam kedudukan baik untuk mencapai prestasi yang mampan pada tahun kewangan 2024,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×