KUALA LUMPUR: Siasatan awal polis terhadap 14 individu termasuk empat kakitangan di sebuah bank berhubung kes kehilangan wang RM24.2 juta mendapati mereka dipercayai telah memperoleh komisen di antara RM100,000 sehingga RM240,000 setiap seorang.
Jumlah yang diperolehi setiap ahli sindiket adalah bergantung kepada tugas dan peranan mereka ketika melakukan jenayah itu.
Kegiatan yang dilakukan sindiket sejak tahun lalu itu dikesan menggunakan modus operandi dengan memalsukan dokumen seperti kad pengenalan milik mangsa bagi tujuan pengeluaran wang di kaunter dengan bantuan kakitangan bank terlibat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan awal mendapati, dalang utama aman menggunakan cap jari dan gambar mereka ketika melakukan urusan pengeluaran di kaunter tetapi data di dalam kad pengenalan berkenaan adalah milik pelanggan.
“Di sini, ahli sindiket akan melakukan pakatan dengan kakitangan bank yang terlibat untuk meluluskan proses verifikasi sebelum wang itu dikeluarkan.
“Bukan itu sahaja, kakitangan bank itu juga dipercayai akan membocorkan maklumat kepada ahli sindiket lain, akaun pelanggan mana yang mempunyai simpanan tinggi untuk dijadikan mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini semalam.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, kegiatan sindiket yang aktif sejak tahun lalu turut dikesan pernah melakukan pengeluaran di akaun milik pelanggan bank lain sebelum ini.
“Kita dapati, seorang daripada kakitangan bank yang ditahan pernah bertugas di bank lain sebelum berpakat dengan ahli sindiket sama untuk melakukan jenayah itu.
“Sebelum dia bertukar dan bertugas di bank sekarang ini dan masih melakukan kegiatan sama. Transaksi pengeluaran berkenaan dilakukan secara runcit-runcit (sedikit demi sedikit) namun menggunakan kaedah dan modus operandi sama,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ramli menegaskan, sistem dan prosedur operasi standard (SOP) bank adalah baik namun disebabkan masalah integriti kakitangan yang menyebabkan wang itu dengan mudah dilesapkan.
Kata beliau, nilai keseluruhan wang yang telah dikeluarkan oleh sindiket ini adalah RM24.2 juta iaitu RM3.5juta bagi kes pertama diikuti kes kedua (RM5.7 juta); kes ketiga (RM6 juta); kes keempat (RM9 juta)
“Daripada empat laporan polis yang diterima, dua dibuat oleh pemilik akaun dan dua yang lain dibuat oleh pegawai bank yang berkaitan,” ujarnya.
Siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan sedang dijalankan dan masih mengesan sekiranya terdapat penglibatan individu lain.








