Pengurus ladang rugi RM217,000, tertipu pelaburan palsu - Utusan Malaysia

Pengurus ladang rugi RM217,000, tertipu pelaburan palsu

SHAHRULANUAR MUSHADDAT ABDULLAH SANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Akibat tertarik dengan pulangan pelaburan sehingga 20 peratus, seorang pengurus ladang rugi RM217,000 dalam tempoh hanya 10 hari selepas menyertai pelaburan mata wang digital tidak wujud.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, lelaki berusia 54 tahun itu mula terjebak dalam pelaburan itu setelah berurusan dengan seorang individu menerusi pautan My Jodoh yang kemudiannya berhubung menggunakan aplikasi WhatsApp pada 4 Jun lalu.

Suspek menawarkan kepada mangsa satu pelaburan mata wang digital dan memberi pautan laman web member.101quantum.com  bagi membolehkan mangsa memasukan butiran diri serta e-mel ke dalam platform tersebut. Pada 8 dan 9 Jun, mangsa yang tertarik dengan pulangan pelaburan sehingga  20 peratus itu telah membuat transaksi ke dalam dua akaun berbeza sebanyak RM105,500.

“Tidak lama selepas itu, mangsa telah membuat semakan ke atas akaun kripto miliknya dan mendapati terdapat keuntungan sebanyak RM12,222.82 sebelum dihubungi suspek yang menyarankan membuat pelaburan lagi jika ingin mendapatkan keuntungan lebih besar. 

“Mangsa yang mula tertarik dan percaya dengan pelaburan itu kemudiannya membuat transaksi sehingga 14 Jun ke dalam tiga akaun berbeza secara berperingkat-peringkat sebanyak RM217,000,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. 

Namun, apabila mangsa ingin mengeluarkan semua keuntungan, suspek memaklumkan bahawa akaun kripto mangsa disekat dan jika ingin membuka sekatan perlu membayar sebanyak RM225,000 lagi. 

Mangsa berasakan tertipu serta curiga dengan pelaburan itu dan kemudiannya membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, semalam.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan atau denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×