LAHAD DATU: Enam penumpang cedera apabila bas ekspres yang dinaiki 19 penumpang hilang kawalan lalu terjunam ke gaung sedalam 50 meter di Batu 9, Jalan Silam, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 malam itu, kesemua enam mangsa yang cedera diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden kemalangan itu pada pukul 9.24 malam dan sepasukan 23 pegawai dan anggota dari BBP Lahad Datu dan BBP Silam dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak pada jarak 23 kilometer dari BBP.
Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, didapati 19 penumpang terlibat dalam kemalangan berkenaan dan 13 daripada mereka berjaya keluar sendiri.
“Enam mangsa yang cedera dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan diberi rawatan awal di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan.
“Kemudian kesemua enam mangsa dihantar ke hospital dengan ambulans dan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bagi mendapatkan rawatan lanjut.Namun, maklumat mangsa tidak diperoleh.,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – UTUSAN










