Keris Melaka dari Pattani jadi tumpuan

Keris Melaka dari Pattani jadi tumpuan

KERIS Melaka yang dipercayai pemberian Sultan Melaka kepada kerajaan Pattani dipamerkan di Pameran Hang Tuah di Ayer Keroh, Melaka. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Keris berusia sekitar 500 tahun dipercayai pemberian Sultan Melaka kepada kerajaan Pattani pada abad ke-15 mencuri tumpuan pengunjung Pameran Hang Tuah yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini.

Pemiliknya, Hasan Yamadibu berkata, tiga senjata lain iaitu tombak, lembing dan keris panjang didakwa dari zaman Kesultanan Melayu Melaka turut dibawa khas dari Kampung Kota, Narathiwat, Thailand untuk tatapan orang ramai sehingga 7 Julai ini.

Katanya, kesemua senjata itu kini disimpan oleh waris hulubalang kerajaan Pattani.

“Kerajaan Melayu pada ketika itu memiliki hubungan erat termasuk di wilayah Pattani. Jadi, Sultan Melaka berkenan mengurniakan senjata-senjata ini sebagai hadiah selepas memenangi peperangan.

“Masih banyak senjata disim­pan oleh keluarga tetapi yang dibawa ke pameran ini hanya empat. Selain itu terdapat juga kitab dan catatan disimpan sejak bergenerasi lamanya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Tambah Hasan, nama Hang Tuah bukan sahaja menjadi sebutan di Melaka bahkan turut terkenal di Pattani.

Menurutnya, penduduk di sana mengenali Hang Tuah berdasarkan cerita-cerita rakyat yang diturunkan generasi terdahulu.

“Kita tidak tahu di mana Me­laka, bagaimana rupa Hang Tuah tetapi kita belajar daripada cerita-cerita masyarakat termasuk di sekolah. Pameran ini secara tidak langsung membuka ruang menceritakan betapa hebatnya orang Melayu suatu ketika dahulu.

“Ia juga memberi inspirasi kepada generasi muda untuk lebih bersemangat dan membangunkan diri menjadi lebih hebat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×