Penyeludup arak cuba rasuah polis RM18,000 - Utusan Malaysia

Penyeludup arak cuba rasuah polis RM18,000

MOHD. SOHAIMI Ishak (tengah) menunjukkan rampasan pelbagai jenis minuman keras dalam sidang akhbar di IPD Seri Alam, Pasir Gudang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Cubaan seorang lelaki memberi rasuah kepada polis sebanyak RM18,000 semasa serbuan di kediamannya yang dijadikan tempat simpanan arak seludup di Taman Air Biru, Pasir Gudang, di sini ‘makan diri’.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, suspek cuba memberi rasuah beberapa kali semasa operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua di rumah suspek yang berusia 51 tahun.

“Semasa serbuan dijalankan, pihak polis bertindak menahan seorang lelaki warga Nepal yang berusia 48 tahun. Lelaki itu mempunyai dokumen yang sah dan bekerja dengan lelaki terbabit sebagai penjaga stor.

“Lelaki itu yang merupakan majikannya cuba memberi rasuah sebanyak RM18,000 kepada anggota polis. Walaupun telah ditolak dan diberi amaran agar tidak berbuat demikian, namun lelaki berkenaan tetap berkeras.

“Justeru, kedua-dua lelaki terbabit telah ditahan polis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini hari ini.

Mohd. Sohaimi berkata, pihaknya turut merampas 60 kotak minuman keras pelbagai jenis yang dipercayai tidak bercukai dengan nilai keseluruhan RM67,791.

“Pekerja asing itu ditahan reman di bawah Seksyen 116 C Akta Kastam 1967 selama lima hari bermula hari ini hingga 24 Jun depan, manakala majikannya diserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.

“Pekerja asing terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala majikan mempunyai rekod jenayah membabitkan kes memiliki arak tidak bercukai pada tahun 2022,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×