TUMPAT: Penantian selama tiga tahun seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) untuk menikmati keenakan rasa daging tercapai apabila menjadi penerima sumbangan menerusi Program Korban Kaseh Perdana Kali keenam di Masjid Al- Ismaili, Mukim Morak di sini semalam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Che Hasan Awang, 42, selepas hilang upaya bekerja dia tidak mempunyai pendapatan sekali gus terpaksa melupakan hasrat untuk membeli daging.
“Harga sekilogram daging segar sekitar RM30, sejak kaki dipotong akibat penyakit kencing manis saya bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.
“Wang itu hanya cukup untuk saya meneruskan kelangsungan hidup termasuk membayar bil elektrik. Bagaimanapun, saya lega apabila anak saudara menghulurkan bantuan dengan membayar sewa rumah,” katanya.
Che Hassan berkata, dia bersyukur dengan sumbangan tersebut dan membolehkan ia dijadikan lauk selama seminggu.
Katanya, dia kini tinggal bersendirian selepas ibu bapanya meninggal dunia.
“Sebelum ini saya bekerja di kedai perabot. Sekarang perlu bertongkat dan menaiki basikal elektrik untuk ke mana-mana,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan FR Qaseh Mohd. Faizul Rohban berkata, seramai 100 penerima sekitar Mukim Morak menerima sumbangan tersebut.
“Ini kali keenam kami (FR Qaseh) mengadakan ibadah korban di beberapa lokasi sekitar Kelantan,” ujarnya.-UTUSAN










