Pensyariatan hukum faraid dalam Islam memperlihatkan formula yang sangat teliti dalam menentukan waris yang layak dan berhak untuk menerima harta pusaka.
Setiap ahli keluarga muslim perlu memahami bahawa jika berlaku kematian dalam sesebuah keluarga akan menyebabkan pemindahan harta si mati kepada mereka yang layak dan berhak sahaja.
Proses ini merupakan sebahagian saringan yang perlu dilakukan kepada ahli keluarga si mati. Terma yang digunakan dalam membuat saringan waris ini dikenali dengan kaedah al-hajb dalam ilmu faraid.
Al-Hajb berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud tegahan atau menutup dari sudut bahasa.
Dalam ilmu faraid, al-hajb merujuk kepada situasi waris yang terdinding atau terhalang daripada mendapat pusaka sama ada dinafikan terus daripada kadar yang sepatutnya atau berlaku pengurangan ke atas bahagian mereka.
Kaedah al-hajb digunakan sebagai saringan ke atas senarai waris si mati bagi menentukan siapa yang berhak dan kadar yang diterima daripada pusaka.
Penggunaan kaedah ini dalam faraid memberi kesan kepada waris-waris tertentu sama ada mendapat pusaka atau tidak. Selain itu, kaedah ini juga menyebabkan bahagian pusaka kepada waris-waris tertentu berkurang atau tidak.
Jika saringan waris ini menyebabkan bahagian waris akan berkurang, maka ia dikategorikan sebagai terdinding sebahagian (hajb nuqsan).
Jika saringan yang dibuat menyebabkan waris tidak mendapat langsung harta pusaka maka ia disebut dengan terdinding sepenuhnya (hajb hirman).
Asas saringan waris ini dapat difahami menerusi penerangan bahagian-bahagian waris menerusi nas syarak terutama ayat-ayat pusaka iaitu ayat 11, 12 dan 176 daripada surah al-Nisa’.
Sebagai contoh, peruntukan faraid untuk ibu si mati ialah antara 1/3 dan 1/6. Kadar maksimum iaitu 1/3 diperolehi apabila si mati tidak meninggalkan zuriat. Firman Allah SWT yang bermaksud: Tetapi kalau si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah sepertiga. (al-Nisa’: 11)
Kadar minimum pula iaitu 1/6 diwarisi ibu si mati apabila si mati meninggalkan zuriat melalui firman Allah SWT: Dan bagi ibu bapa si mati, tiap-tiap seorang daripada keduanya seperenam daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. (al-Nisa’: 11)

Dalam dalil yang lain, Rasulullah SAW turut menegaskan saringan waris ini melalui prinsip keutamaan dalam agihan faraid menerusi sabda baginda yang bermaksud: Berilah kadar yang ditetapkan kepada waris yang berhak. Jika berbaki maka agihkan kepada waris lelaki yang utama. (Al-Bukhari. Al-Jami’ al-Musnad al-Sahih. Kitab al-Fara’id (85). Bab: mirath al-walad min abihi (5). No: 6732).
Prinsip keutamaan dalam hadis tersebut dapat difahami dalam beberapa perkara. Antaranya penarafan kategori waris kepada waris ashab al-furud dan ‘asabah dalam sistem faraid Islam menunjukkan saringan awal perlu dibuat.
Ini supaya waris ashab al-furud diutamakan terlebih dahulu untuk mendapat habuan pecahan masing-masing.
Waris ‘asabah pula hanya menunggu lebihan habuan mereka jika terdapat baki dalam sesuatu kes faraid.
Dari aspek yang lain, waris ‘asabah yang biasanya ditujukan kepada ahli keluarga lelaki kepada si mati harus tabah kerana tidak semua daripada mereka berhak mewarisi secara serentak.
Jika si mati meninggalkan anak lelaki dan saudara lelaki, maka yang berhak mewarisi sepenuhnya harta pusaka ialah anak lelaki si mati tersebut.
Walaupun saudara lelaki adalah adik-beradik kepada si mati, namun keutamaan saringan waris sangat diambil berat dalam agihan faraid kes tersebut. Dalam hal ini saudara lelaki harus akur lagi pasrah dengan tiada habuan harta pusaka daripada si mati.
TERDINDING SEBAHAGIAN
Kategori terdinding sebahagian menyebabkan pemindahan bahagian waris daripada satu kadar kepada kadar yang lain. Kategori ini melibatkan waris ashab al-furud yang biasanya ditentukan pecahan faraid kepada mereka dengan nilaian minimum atau maksimum.
Sebagai contoh, suami pada asalnya mendapat 1/2 tetapi menjadi kurang kepada 1/4 kerana isterinya (si mati) mempunyai anak. Dalam contoh lain, isteri si mati layak untuk mendapat 1/4 jika si mati tidak tinggalkan zuriat. Namun jika si mati mempunyai anak, isteri hanya berhak untuk mendapat 1/8 daripada harta pusaka.
Begitulah seterusnya kepada waris ashab al-furud lain yang memperolehi beberapa kombinasi bahagian dalam faraid.
Perubahan daripada kadar maksimum kepada kadar minimum menunjukkan waris tersebut terdinding daripada menerima faraid secara sebahagian sahaja. Selepas disaring, mereka tetap mendapat bahagian faraid dengan nilaian yang sedikit.
TERDINDING SEPENUHNYA
Kategori terdinding sepenuhnya ini menyebabkan penghalangan secara mutlak terhadap waris daripada memperolehi harta pusaka disebabkan wujudnya waris yang lain. Dalam hal ini, seramai enam orang tidak dihalang sama sekali iaitu bapa, ibu, anak lelaki, anak perempuan, suami atau isteri.
Dalam apa jua kes faraid, keenam-enam waris ini lebih terjamin untuk mendapat harta pusaka. Secara logiknya, mereka sangat hampir dengan si mati untuk diraikan bahagian masing-masing.
Bahkan sebahagian mereka berperanan sebagai pendinding waris-waris lain.
Formula saringan waris faraid boleh diringkaskan menerusi jadual 1 dan jadual 2.
Waris terdinding tidak berhak untuk mendapat harta pusaka sepenuhnya walaupun pada asalnya mereka tersenarai sebagai waris faraid. Ini kerana waris pendinding merupakan mereka yang paling berhak untuk mendapat harta pusaka si mati.
Di sinilah keunikan agihan faraid dalam Islam yang menetapkan bahawa tidak semua waris yang layak akan berhak untuk mewarisi.
Formula saringan waris ini perlu difahami agar faraid dapat diberikan kepada yang berhak dan mengelakkan konflik dalam mengurus harta keluarga.
Jadual 1 menunjukkan waris-waris lelaki yang menerima faraid akan terdinding dengan kewujudan waris-waris lain.

Hierarki setiap waris adalah berbeza-beza kerana mereka tidak akan menerima faraid dengan kehadiran waris yang lebih utama. Sebagai contoh, cucu lelaki iaitu anak lelaki kepada anak lelaki tidak akan menerima pusaka jika anak lelaki si mati masih wujud.
Begitulah seterusnya yang berlaku kepada waris-waris lain seperti yang dinyatakan dalam jadual tersebut. Waris-waris pendinding yang diringkaskan mempunyai keutamaan untuk mendinding waris-waris yang terdinding.
Jadual 2 menunjukkan waris-waris perempuan yang menerima faraid turut terdinding sepenuhnya dengan kewujudan waris-waris lain.

Sebagai contoh, nenek sebelah ibu tidak akan mewarisi apabila ibu masih hidup. Adapun nenek sebelah bapa pula hanya akan mewarisi sekiranya ibu dan bapa sudah tidak wujud.
Begitulah seterusnya saringan yang berlaku kepada waris-waris lain seperti yang dinyatakan dalam jadual tersebut.
PENEGASAN
Saringan waris faraid melalui kaedah al-hajb memperlihatkan bahawa susur galur dan keakraban dalam keluarga adalah sangat diutamakan. Mereka yang paling hampir dengan si mati adalah paling layak mewarisi berbanding waris yang berada pada kedudukan yang jauh.
Dalam erti kata lain, waris-waris yang jauh hanya dapat mewarisi pusaka apabila waris-waris yang dekat sudah tidak wujud.
Secara implisit, perundangan faraid dalam Islam mementingkan hubungan kekeluargaan sama ada keluarga kecil (nuclear family) atau keluarga besar (extended family) sebagai penerima harta pusaka.
Semua ahli keluarga si mati harus akur bahawa tidak semua waris akan layak dan berhak untuk mewarisi harta pusaka.
Kepatuhan kepada saringan waris membuktikan hukum faraid bukanlah rekaan manusia tetapi perintah ilahi yang Maha Kuasa.
- Zahari Mahad Musa, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










