10 tahun penduduk ‘hadap’ masalah tekanan air rendah

10 tahun penduduk ‘hadap’ masalah tekanan air rendah

PENDUDUK menunjukkan tangki air di Taman Berjaya Permai, Sungai Soi di Kuantan, Pahang yang tidak digunakan lagi dipercayai antara punca gangguan bekalan air selalu berlaku. – UTUSAN/DIANA SURYA ABD. WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kira-kira 11,000 penduduk di Taman Berjaya Permai, Sungai Soi di sini terus dibelenggu masalah tekanan rendah dan terputus bekalan air yang sudah 10 tahun berlarutan.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, penduduk mendakwa, ada antara mereka terpaksa mengambil inisiatif sama ada berpindah keluar daripada perumahan tersebut ataupun memasang tangki tambahan untuk menyimpan bekalan air.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Permai Jaya, Izhan Ibrahim berkata, isu gangguan bekalan air di situ sangat kritikal.

Menurutnya, disebabkan gangguan bekalan yang berlarutan sejak lama terdapat penduduk mengambil keputusan menjual rumah atau berpindah ke tempat lain.

“Ada segelintir penduduk sudah mula pindah sebab tidak selesa tinggal di sini. Bagaimanapun, saya tidak ada statistiknya. Tetapi tiba-tiba kita tengok ada iklan gantung di pagar, rumah untuk dijual.

“Bila tanya mereka cakap nak pindah cari tempat lain yang tidak masalah gangguan bekalan air,” katanya di sini semalam.

Taman Berjaya Permai, mula dibuka pada 2002 dan taman perumahan itu terletak hanya 16 kilometer dari bandar raya Kuantan.

Mengulas lanjut, Izhan berkata, banyak aduan dibuat kepada pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) tetapi tiada tindakan atau penjelasan diberikan pihak berkenaan.

“Sehingga kini belum ada perbincangan atau perjumpaan antara wakil penduduk dengan pihak PAIP bagi membincangkan isu ini.

“Sementara menunggu masalah selesai, ada juga penduduk yang berkemampuan memasang tangki tambahan di kediaman mereka tapi bukan semua mampu, kebanyakan penduduk di sini bekerja sendiri dan ada yang sudah pencen.

“Jadi, saya mohon kerajaan negeri dan mana-mana pihak berkaitan tampil untuk menyelesaikan masalah kami,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kemakmuran Kampung (JPKK) Kempadang, Saaban Awang berkata, masalah itu bukan sahaja membabitkan penduduk setempat malah beberapa kawasan sekitar termasuk sekolah, masjid dan kedai.

“Mengikut maklumat penduduk, sejak 10 tahun kebelakangan masalah (tekanan air) semakin membimbangkan.

“Bukan saja ketika musim cuti perayaan dan cuti umum malahan sudah hampir setiap hujung minggu juga berlaku gangguan bekalan air.

“Perkara ini sudah dimaklumkan kepada pihak berkenaan, jadi saya harap ia di­selesaikan seberapa segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×