Malaysia sahkan  hasrat sertai BRICS - Utusan Malaysia

Malaysia sahkan  hasrat sertai BRICS

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan sudah menyatakan hasrat untuk menyertai organisasi antara kerajaan, BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.

Perdana Menteri berkata, Malaysia akan melalui proses-proses untuk memungkinkan negara menyertai organisasi antara kerajaan itu.

“BRICS, sejak dua bulan lalu, ia telah diangkat supaya Kementerian Luar buat kajian yang keputusan dasar kita untuk menyertai BRICS. Kita akan melalui proses untuk memungkinkan kita untuk menyertai BRICS.

“Saya sendiri telah bercakap dengan Presiden Brazil tentang hasrat yang sedemikian,” kata Anwar kepada pemberita selepas menghadiri kenduri sempena Aidiladha di Mengkuang Semarak, Bukit Mertajam, hari ini.

Terdahulu, ketika wawancara bersama bersama syarikat penerbitan berpangkalan di Shanghai, China iaitu Guancha, Anwar berkata, Malaysia akan memulakan prosedur rasmi untuk menyertai organisasi antara kerajaan, BRICS tidak lama lagi.

Beliau berkata, pihaknya telah mengambil langkah ke arah dan kini menunggu maklum balas.

“Kami telah mengambil keputusan yang sewajarnya. Kami akan melancarkan proses rasmi tidak lama lagi. Sekarang kami menunggu keputusan akhir, maklum balas daripada kerajaan Afrika Selatan,” kata Perdana Menteri.

BRICS ialah kumpulan ekonomi sedang pesat membangun terdiri Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan.

Anwar berkata, sebelum ini beliau telah mengadakan perbincangan mengenai pengembangan BRICS dengan Presiden Brazil.

Menurutnya, Malaysia ‘lega’ dunia tidak lagi unipolar (sistem tadbir urus global dikuasai sebuah negara berkuasa penuh tanpa boleh dicabar) dan kebangkitan BRICS dan China khususnya telah menawarkan harapan terdapat semak dan imbang di dunia.

Perdana Menteri berkata, Barat mahu mengawal wacana di dunia, tetapi kita tidak lagi boleh menerimanya kerana mereka bukan lagi kuasa penjajah dan negara-negara merdeka harus bebas untuk membuat pilihan. 

BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India dan China. Afrika Selatan menyertai kumpulan ini pada 2010.

Kumpulan itu dibentuk untuk menyatukan negara-negara membangun yang paling penting di dunia, bagi mencabar kuasa politik dan ekonomi negara-negara kaya di Amerika Utara dan Eropah Barat.

BRICS kini menyumbang satu perempat daripada ekonomi global, merangkumi satu perlima daripada perdagangan global, dengan populasi sekitar 40 peratus penduduk dunia. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×