Malaysia, China setuju meterai program kerjasama 5 tahun

Malaysia, China setuju meterai program kerjasama 5 tahun

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Malaysia dan China bersetuju untuk melaksanakan pusingan kedua Program Lima Tahun Malaysia-China untuk Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, inisiatif ini akan memperdalam lagi hubungan antara industri dalam sektor utama seperti pembuatan peringkat tinggi, ekonomi digital, robotik, pembangunan usahawan, inovasi dan syarikat permula serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam pertanian dan industri utama.

Katanya, program tersebut dijangka akan ditandatangani tidak lama lagi, semasa lawatan sulung Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia (18  hingga 20 Jun 2024) sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

“Selain Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan, dua perjanjian persefahaman (MoU) kerajaan ke kerajaan dijangka akan ditandatangani semasa lawatan ini.

“Ini termasuk MoU mengenai memperkukuh Kerjasama Pelaburan Dalam Ekonomi Digital dan MoU tentang menggalakkan Kerjasama Pelaburan Dalam Pembangunan Hijau,” katanya dalam ucaptama pada majlis pelancaran kilang korporat Chery Auto Malaysia Sdn. Bhd. di sini, semalam.

Tengku Zafrul berkata, perjanjian-perjanjian tersebut akan menetapkan hala tuju untuk syarikat dari Malaysia dan China mengenai pelaburan dan perniagaan peluang dalam pelbagai sektor.

“Tadi saya ada berbincang dengan Menteri Perindustrian dan Teknologi Maklumat China, Jin Zhuanglong mengenai perkembangan industri automotif di China dan menyatakan banyak syarikat di China yang berminat (dengan Malaysia), contohnya Chery yang baru melancarkan kilang pemasangan di Malaysia.

“Beliau juga menyentuh mengenai sektor penerbangan. Mereka juga menjemput Malaysia untuk melihat potensi pelaburan bersama dalam sektor ini dan digital ekonomi serta teknologi maklumat.

“Saya ingin menyatakan MoU yang akan ditandatangani esok akan ada rangka kerja untuk memastikan kedua-dua negara dan syarikat Malaysia dan China dapat berkongsi pengalaman dan pengetahun berkaitan sektor tadi,” ujarnya.

Ketika diminta mengulas BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan), beliau berkata, beliau mengulangi apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Malaysia terbuka untuk menyertainya keran boleh membawa kepada manfaat ekonomi.

“Ada beberapa negara seperti Arab Saudi, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah menyertai BRICS. Jadi, buat masa ini perkembangan BRICS lancar dan kita tunggu perbincangan selanjutnya.

“Malaysia memang terlibat dalam beberapa perjanjian perdagangan contohnya Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan ASEAN. 

“Ketika ini, Malaysia ada 15 perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang kita tandatangani bersama negara dan juga kumpulan secara dua hala  bilateral dan pelbagai hala,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×