Nelayan C2 dakwa dianaktirikan kerajaan - Utusan Malaysia

Nelayan C2 dakwa dianaktirikan kerajaan

NELAYAN C2 mendakwa ibarat 'pengemis' kerana terus dianaktirikan daripada menerima insentif serta bantuan kerajaan khususnya subsidi diesel.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Nasib kira-kira 500 nelayan C2 yang majoritinya bumiputera diibaratkan seperti ‘pengemis’ kerana terus dianaktirikan daripada menerima insentif serta bantuan kerajaan khususnya subsidi diesel.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, nelayan C2 negeri ini, Tengku Adnan Tengku Husin berkata, nelayan kelas C2 terus diabaikan kerana lebih enam tahun tidak menerima bantuan seperti elaun sara hidup dan insentif hasil tangkapan bagi setiap kilogram ikan seperti mana diterima nelayan lain.

Menurutnya, pelbagai bebanan terpaksa ditanggung nelayan C2 walaupun merupakan penyumbang terbesar tangkapan ikan dalam negara berbanding kelas-kelas lebih kecil yang menerima keistimewaan kerajaan.

“Berhubung diesel, sebulan kami perlu isi kira-kira 30,000 liter diesel sebuah bot, jadi dengan harga RM3.35 seliter pada ketika ini, kami perlu belanja lebih RM100,000 sebulan hanya untuk isi minyak sahaja.

“Itu belum ambil kira kos penyelenggaraan bot dan membaiki pukat yang rosak setiap bulan. Adakah ini cubaan untuk membunuh atau ‘hapuskan’ kami nelayan C2 khususnya bumiputera?,” soalnya di sini semalam.

Untuk sebuah bot nelayan C2, isian penuh tangki kebiasaannya 3,000 liter minyak.

C2 adalah bot paling besar dalam semua kelas yang ada dan pemegang lesennya dibenarkan menangkap ikan di kawasan 30 batu nautika dari pantai.

Bermula Ahad lalu, kerajaan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit petrol di seluruh Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter, kenaikan sebanyak RM1.20 seliter.

Bagaimanapun, kadar itu boleh berubah setiap minggu mengikut harga semasa.

Penyasaran subsidi diesel ini dilaksanakan serentak dengan bantuan bersasar untuk sektor logistik di bawah sistem kawalan diesel bersubsidi (SKDS).

Bermula kelmarin juga, seramai 30,000 pemilik kenderaan diesel individu menerima RM200 bantuan tunai bulanan pertama menerusi Budi Madani.

Utusan Malaysia sebelum ini pernah melaporkan bahawa nelayan C2 sanggup ‘turun pangkat’ ke kelas C demi memastikan mereka memperoleh diesel bersubsidi berharga RM1.65 seliter.

Difahamkan, walaupun tindakan turun kelas itu merupakan suatu kesalahan, namun ia didakwa tetap berlaku ekoran harga diesel industri yang terlalu mahal.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata, dia meminta kerajaan supaya mengkaji semula pemberian subsidi diesel kepada nelayan C2 yang ketika ini cukup terbeban ekoran kenaikan harga bahan bakar tersebut.

“Sifirnya mudah sahaja, kalau kerajaan nak bagi subsidi diesel kepada nelayan, bagi sama rata dan adil. Bukan hanya kelas C malah C2 juga perlu menikmatinya.

“Tetapi ia tidak berlaku, kami nelayan C2 seperti anak yatim yang merempat di negara sendiri, sedangkan nelayan warga asing yang menggunakan lesen tempatan menikmati subsidi kerajaan,” katanya.

Menurutnya, jika nelayan C2 terus dibiarkan terabai dan dianaktirikan, tidak mustahil ramai akan gulung tikar atau ‘turun pangkat’ seperti mana di Pahang ketika ini yang jumlahnya tidak sampai pun 10 orang.

“Jika ini berlaku, tidak mustahil juga bekalan ikan negara akan berkurangan kerana halangan dihadapi oleh nelayan C2 yang pada dasarnya penyumbang besar dalam membantu bekalan ikan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×