PETALING JAYA: Wujud penglibatan sindiket dipercayai menguasai kawasan tertentu di ibu negara untuk melakukan penyelewengan diesel bersubsidi sebelum penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan pada 10 Jun lalu.
Itu antara taktik dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur hasil risikan dan tindakan Op Tiris yang dilaksanakan Mac tahun lalu hingga Mei lalu.
Dalam tempoh pelaksanaan Op Tiris tersebut, KPDN Kuala Lumpur merekodkan 22 kes penyelewengan dengan nilai rampasan RM1.62 juta.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, berdasarkan maklumat, kegiatan penyelewengan diesel di ibu negara melibatkan lebih daripada satu sindiket.
Menurut beliau, sindiket tersebut menguasai kawasan tertentu bagi membuat pembelian minyak diesel di stesen-stesen minyak dikenal pasti.
“Kesemua lori yang digunakan dipercayai aktif bermula pukul 5 petang sehingga pukul 7 pagi bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa.
“Kesemua pemandu lori ini amat berhati-hati bagi mengelak diekori oleh pihak berkuasa dan KPDN Kuala Lumpur juga tidak menolak kemungkinan ada pekerja stesen-stesen minyak yang bersubahat dan diberikan imbuhan wang ringgit oleh pihak sindiket,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Ariffin berkata, diesel hasil penyelewengan kemudian akan dihantar kepada pemborong yang beroperasi di luar Kuala Lumpur bagi tujuan eksport atau dijual kepada pihak industri yang memerlukan.
Jelas beliau, sejak pelaksanaan Op Tiris , KPDN Kuala Lumpur merekodkan 22 kes dengan nilai rampasan mencecah RM1.62 juta.
“Sitaan membabitkan 202,000 liter diesel bernilai RM435,000, manakala tangkapan seramai 33 orang iaitu 25 warga tempatan dan lapan warga asing.
“Perbezaan harga minyak diesel bersubsidi di stesen minyak dengan minyak diesel industri melebihi RM0.80/liter dan ini menjadi faktor utama pihak sindiket mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan peribadi,” katanya.
Tegasnya, KPDN memberi amaran keras mana-mana pihak supaya tidak melanggar undang-undang sedia ada serta tidak mengambil kesempatan terhadap subsidi yang diberikan oleh pihak kerajaan.
“Subsidi yang diberikan adalah untuk dinikmati oleh rakyat negara ini dan bukannya untuk aktiviti penyelewengan bagi mengaut keuntungan berlipat kali ganda.
“KPDN WP Kuala Lumpur ingin menegaskan bahawa mana-mana individu atau mana-mana pihak ingkar bakal menerima hukuman yang berat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Pencegahan Pengubahan
Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” katanya. – UTUSAN










