PETALING JAYA: Kos ujian kesihatan yang tinggi menjadi faktor dua daripada lima rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas tidak melakukan saringan kesihatan kendiri.
Berdasarkan tinjauan Utusan Malaysia di hospital dan klinik serta makmal swasta mendapati harga ujian saringan kesihatan adalah sekitar RM100 hingga RM300 bergantung kepada jenis dan pakej pemeriksaan.
Misalnya, sebuah hospital swasta menawarkan ujian pemeriksaan melibatkan saringan kencing manis, darah tinggi dan hepatitis serta tiroid bermula dari RM150 manakala kanser mencecah RM230.
Ini bermaksud lagi banyak seseorang individu ingin mengetahui kesihatan masing-masing, maka lagi tinggi mereka perlu membayar kos pemeriksaan kesihatan tersebut.
Pakar kesihatan komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, pemeriksaan kesihatan menelan kos antara RM100 dan RM300 menjadi faktor golongan berpendapatan rendah dan sederhana tidak mampu berbuat demikian.
Katanya, meskipun klinik dan hospital kerajaan menawarkan ujian saringan serendah RM1, namun ruang terhad di samping hanya mengutamakan kes rujukan sekali gus orang ramai perlu menunggu giliran yang panjang.
Justeru, beliau berpandangan, kerajaan perlu menurunkan usia Program Saringan Kesihatan (HSP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dari 40 kepada 30 tahun untuk menggalakkan pekerja swasta melakukan pemeriksaan lebih awal.
“Buat masa ini usia kelayakan program percuma tersebut melibatkan pencarum berumur antara 40 hingga 59 tahun untuk pengesanan awal penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, darah tinggi, kanser dan risiko penyakit jantung.
“Malah ada syarikat kecil tidak mempunyai keupayaan kewangan bagi menampung pekerja menjalani pemeriksaan kesihatan. Tetapi jika kerajaan mempunyai inisiatif untuk menggalakkan para pekerja seawal usia 30 tahun berbuat demikian, ia memberi peluang kepada lebih ramai terutamanya tidak berkemampuan melakukan pemeriksaan kesihatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 dikeluarkan Kementerian Kesihatan baru-baru ini, dua daripada rakyat dewasa berumur 18 tahun ke atas tidak melakukan saringan kesihatan dalam tempoh 12 bulan lalu.
Tinjuan itu juga mendapati golongan berusia 18 hingga 39 tahun meliputi peratusan tertinggi tidak tahu mereka menghidap tekanan darah tinggi.
Bagaimanapun menurut kajian itu, tiga sebab utama individu tidak berbuat demikian, antaranya 90 peratus masyarakat merasakan mereka sihat, 84 peratus tiada gejala dan 39 peratus berdepan kekangan masa.
Laporan sama juga mendedahkan hampir tujuh juta daripada kira-kira 23 juta orang dewasa di negara ini dikesan mengalami tekanan darah tinggi atau hipertensi yang berisiko membawa maut.
Menurut Sharifa Ezat, program pemeriksaan juga wajar diperluaskan dalam kalangan belia dan pelajar universiti memandangkan generasi muda tidak terlepas mengalami penyakit hipertensi.
“Jadi, jika dilakukan lebih awal, maka lebih peluang kepada lebih ramai rakyat terutamanya tidak berkemampuan melakukan pemeriksaan kesihatan dan mengenal pasti sebarang isu kesihatan tersembunyi yang boleh memudaratkan badan,” katanya
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak menolak kemungkinan kos kewangan kerajaan boleh meningkat untuk menampung program pengesanan kesihatan itu.
“Bagaimanapun, ia penting bagi mengenal pasti faktor risiko penyakit kronik dan tidak berjangkit berbanding memperuntukkan kos lebih besar bagi subsidi kesihatan untuk tempoh berpanjangan,” katanya.
Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam (Perdim), Dr. Boi Saidi Abdul Razak pula berkata, pemeriksaan kesihatan Perkeso perlu diturunkan dari umur 40 kepada 30 tahun untuk menggalakkan saringan pada usia lebih muda.
Katanya, pemeriksaan kesihatan awal boleh membantu mengesan penyakit tertentu di peringkat awal.
“Banyak kajian menunjukkan pengesanan awal boleh membantu menyediakan perancangan pengurusan dan rawatan lebih baik yang kemudiannya akan meningkatkan kelangsungan hidup pesakit,” katanya. – UTUSAN









