Terkenang sambal tahun kulit lembu digemari arwah suami - Utusan Malaysia

Terkenang sambal tahun kulit lembu digemari arwah suami

SITI Nurhidayah Abd. Ghani menunjukkan gambar kenangan keluarga bersama arwah suami di Kampung Merbau Berdarah, Sungai Panjang, Sabak Bernam semalam. – Utusan/ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: “Aidiladha kali ini sepi dan tentu mengimbau bagaimana arwah suami yang terlalu gemar makan sambal tahun kulit lembu setiap kali me­nyambut perayaan”.

Demikian luahan Siti Nurhidayah Abd. Ghani, 40, isteri kepada seorang peniaga nasi lemak yang meninggal dunia ketika menjamu selera di sebuah kedai makan di daerah ini, 10 Mac lalu.

Lebih memilukan, Allahyarham Muhamad Nizam Arshad, 50, sempat membeli kelengkapan saat akhir persekolahan anaknya selepas berniaga sebelum maut akibat serangan jantung.

Siti Nurhidayah berkata, ketika kejadian dia bersama suami dan empat anaknya singgah makan tengah hari di kedai itu, pada pukul 1.45 petang.

“Kami sebelum itu baru selesai membeli kelengkapan sekolah salah seorang anak di pekan Sungai Besar.

“Arwah kemudian memesan nasi kambing kegemarannya namun rebah selepas hanya memakan satu suapan sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya sebak ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Merbau Berdarah, Sungai Panjang, di sini semalam.

Menurut suri rumah itu, arwah amat menggemari makanan tradisi Jawa iaitu sambal tahun kulit lembu setiap kali sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Sejak lebih 20 tahun lalu, sudah menjadi rutin dia melapah dan menjemur kulit lembu sebelum meminta saya memasak menu wajib sambal tersebut.

“Biarpun arwah sudah tiada, saya dan ibu akan tetap menyediakan juadah itu pada pagi raya bagi mengubati kerinduan keluarga,” luah ibu kepada lima anak itu.

Kata Siti Nurhidayah, dia dan arwah menjual nasi lemak di sebuah gerai kecil di pekan Sungai Besar sejak bulan Ramadan 2023.

“Sebelum kejadian, arwah ada menyatakan hasrat mahu berehat dan tidak mahu berniaga pada Ramadan lalu.

“Namun, tidak sangka Allah lebih menyayangi dia dan pergi meninggalkan kami buat selamanya,” katanya.

Tambah beliau, memori bersama arwah terlalu kuat di ingatannya apatah lagi suami dinikahinya itu juga jirannya sendiri.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×