Pekerja Bangladesh gemar makan kepala lembu masak kari

Pekerja Bangladesh gemar makan kepala lembu masak kari

ABDUL Latif Abd. Rashid menternak dan menjual lembu sejak lebih 11 tahun lalu. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Warga Bangladesh yang mencari rezeki di negara ini dikatakan menggemari bahagian kepala lembu untuk dimasak kari terutamanya semasa membantu penyembelihan haiwan itu di surau atau masjid semasa Hari Raya Aidiladha.

Seorang penternak dan penjual lembu, Abdul Latif Abd. Rashid, 41, berkata, kepala lembu sememangnya digemari warga negara itu terutamanya di bahagian pipi yang didakwa mempunyai daging yang lembut dan enak.

“Biasanya, warga Bangladesh yang membantu di surau atau masjid semasa penyembelihan haiwan korban akan meminta kepala lembu untuk dimasak kari di rumah mereka.

“Cuma, proses memasaknya agak rumit kerana perlu membakar kepala haiwan itu terlebih dahulu, buang kulitnya, dikikis dagingnya selain perlu direbus untuk tempoh masa yang lama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Katanya lagi, kepala haiwan ruminan itu biasanya dijual dengan harga RM10 sekilogram (kg) dan beratnya subjektif bergantung kepada saiz lembu itu sendiri.

“Saya juga gemar makan kepala lembu terutamanya semasa Aidiladha bersama keluarga. Biasanya masak sup dan dicicah bersama sambal hitam. Memang ‘terangkat’ dibuatnya,” katanya.

Dalam pada itu, seorang warga Bangladesh yang hanya ingin dikenali sebagai Abdullah, 49, yang bekerja di sebuah kilang papan di sini memberitahu, kepala lembu sememangnya mempunyai daging yang lembut dan enak dimakan.

“Sedap untuk masak kari dan dimakan bersama nasi terutamanya semasa panas-panas dengan kawan-kawan senegara.

“Kami di Dhaka (Bangladesh) memang makan kepala lembu terutama semasa Aidiladha kerana haiwan ini seperti kelapa banyak kegunaan dan kha­siatnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×