PETALING JAYA: Keropok ikan Seameq keluaran syarikat Maperow Sdn. Bhd, menjadi produk keropok ikan pertama yang memperoleh sijil halal sekali gus membantu memperluas jenama mereka ke seluruh negara.
Pengurus Pemasaran Maperow, Nurfarzana Tajul Arifin berkata, dengan adanya pengiktirafan sijil halal sejak perniagaan Seameq mula berkembang, ia dapat menyakinkan banyak pembeli untuk membelinya.
Menurutnya, sebagai pengeluaran produk ikan, lebih-lebih perniagaan yang dijalankan bertapak di Terengganu yang mana terkenal dengan keropok berasaskan ikan asli, Seameq memanfaat sijil halal dalam memperluaskan jenama mereka.
“Jika melihat daripada segmen pelanggan, walaupun peminat Seameq terdiri daripada pelbagai bangsa lain yang terdapat di negara ini, namun kebanyakan penggemar Seameq terdiri daripada mereka yang beragama Islam.
“Justeru, kumpulan kami sentiasa memastikan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa bagi mengekalkan Seameq mengeluarkan produk yang halal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, pihaknya tidak mempunyai masalah memperoleh bahan mentah utama dalam pembuatan Seameq, kerana mudah diperoleh daripada pembekal tempatan dan nelayan di Terengganu.
“Pemilihan penggunaan ikan segar dalam proses pembuatan juga merupakan satu daripada langkah untuk kami memastikan bahan utama tersebut bukanlah ikan yang sudah berbau busuk dan rosak.
“Selain itu, pemantauan sering dilakukan bagi proses pembuatan keropok ikan dari segi pembersihan ikan, kisaran isi ikan, pencampuran dengan tepung dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, Seameq pada ketika dulu merupakan perniagaan kecil-kecilan daripada menjual ikan kepada isi ikan sehinggalah berkembang dalam pembuatan keropok lekor dan keropok segera.
Katanya, apabila permintaan semakin tinggi terhadap pembelian keropok ikan lekor dan keropok keping segera, Seameq mula mendapatkan sijil halal bagi membolehkan operasi pemprosesan dapat dijalankan di sebuah kilang.
“Sekitar tahun 2015, kami tidak melepaskan peluang dengan menggunakan Facebook untuk memperkenalkan produk Seameq, apabila mendapati banyak perniagaan mula berjinak-jinak menggunakan media sosial.
“Kini perniagaan Seameq semakin berkembang dengan adanya pelbagai produk berasaskan ikan, antaranya ialah keropok keping, keropok segera dan keropok lekor,” katanya.
Farzana berkata, selain mempromosikan pemasaran di media sosial, Seameq juga mempunyai stokis dan agen di seluruh Malaysia.
“Seameq kini berjaya meraih hasil sebanyak RM2 juta sebulan dengan hanya penjualan dalam negara sahaja,” katanya.
Justeru, Seameq nekad untuk memasuki pasaran luar negara, namun kata Farzana, setakat ini kumpulannya masih membuat penambahbaikan bagi penyelidikan lanjut mengenai prosedur bagi membolehkan produk Seameq dapat dieksport suatu hari nanti.-UTUSAN









