KEJAYAAN Allahyarham Sudirman Haji Arshad yang dinobatkan Penghibur Terbaik Asia pada malam Anugerah Muzik Popular Asia di Royal Albert Hall 35 tahun lalu mungkin menjadi sejarah yang tidak berulang.
Sehingga kini, belum ada mana mana penyanyi yang mampu mencabar pencapaian yang direkodkan penyanyi yang terkenal dengan julukan penghibur nombor satu Asia itu.
Namun di sebalik kejayaan tersebut, hadir adiwira-adiwira yang kemunculan mereka bersama Sudirman waktu itu, tidak didendangkan.
Magis yang dicipta pemain piano dan komposer bertaraf legenda, Michael Veerapen menerusi lagu One Thousand Million Smile yang dipersembahkan Sudirman malam tersebut bergema seluruh Royal Albert Hall, sekali gus meninggalkan memori indah buat Michael dan penulis lagu, Paul Ponnudurai.
Usaha saya menjejaki komposer berpengalaman itu, berhasil. Terima kasih kepada komposer, Freddie Fernandez yang menghubungkan kami. Pertemuan bersama Michael di pejabatnya di Hartamas bertukar santai bagi beliau berkongsi pengalaman sepanjang pembabitan sebagai seniman disegani.
Michael bukan individu yang gemar mengimbau sejarah lampaunya. Malah mencanang kejayaan peribadi bukan dia orangnya.
Tetapi dia sedia berkongsi cerita apabila diminta berbuat demikian. Jadi, teruja saya mengorek kejadian-kejadian menarik di sebalik penglibatannya yang menjadi antara individu yang bersama Sudirman pada majlis penganugerahan bersejarah itu.
“Saya diminta untuk terbang ke London kerana Sudirman perlukan saya di sana. Saya sampai agak lewat disebabkan passport saya tamat tempoh.
Jadi, Allahyarham hubungi salah seorang pengarah Imigresen ketika itu untuk minta percepatkan proses pembaharuan passport saya.
“Pelbagai isu timbul ketika Sudirman di sana. Antaranya berlaku percanggahan pendapat dengan pengarah muzik di Royal Albert Hall mengenai susunan lagu untuk persembahan beliau di sana. Jadi, ketika dalam penerbangan ke London, saya susun semula lagu Smile dan One Thousand Million Smile untuk sesuaikan dengan persembahan beliau di sana.
“Setiba di London, saya melihat wajah Sudirman yang agak tertekan. Saya nasihatkan beliau bertenang dan minta beliau benarkan saya selesaikan masalah yang berlaku. Saya serahkan dan minta pengarah muzik gunakan score yang saya susun ketika dalam perjalanan ke London.
“Mengenali Sudirman, beliau sentiasa gemuruh sebelum membuat persembahan. Dan bayangkan beban yang dipikulnya ketika itu sebagai satu-satunya anak tempatan yang terpilih untuk berentap dalam pertandingan berprestij dunia pada ketika itu. Tetapi sebaik sahaja Allahyarham naik ke pentas, beliau tunjukkan keberaniannya. Itu sebabnya orang menggelarkan dia seorang superstar,” katanya.
Ujar Michael, pencapaian diraih Sudirman dalam penganjuran berprestij itu adalah kenangan cukup berharga yang masih memberi kesan kepada dirinya sampai ke hari ini.
Meskipun kurang berminat mengenang kejayaan lama, Michael mengakui sejarah yang dicipta pada malam itu selayaknya diraikan sampai ke hari ini.
“Saya menyaksikan momen membanggakan itu, dengan sorakan penonton yang meraikan kejayaan Sudirman masih terngiang ngiang dalam kiran saya. Kejayaan Sudirman itu juga memberi impak kepada saya, dengan ramai yang yang mengucapkan tahniah atas penghasilan lagu One Thousand Million Smile.
“Saya terkejut apabila ada yang menyangka saya pengarah muzik dari Filipina. Mereka seperti tidak percaya apabila saya memberitahu saya anak Malaysia sejati,” kongsinya.
MINAT MUZIK SEJAK KANAK-KANAK
MICHAEL dilahirkan di Negeri Sembilan, dengan ibu bapanya bekerja sebagai guru pada ketika itu. Beliau memiliki tiga adik beradik. Kesemua mereka diberikan peluang pendidikan yang mencukupi.
“Saya dibesarkan di Seremban, berdarah campuran Cina dan India. Ketika itu, perkahwinan campur bukan sesuatu perkara yang biasa berlaku. Malah perkahwinan campur membabitkan bangsa India dan Cina dianggap haram ketika itu.
“Sebagai anak berdarah campur, saya membesar dalam persekitaran yang mencabar. Ada sukarnya, tetapi tidaklah keterlaluan. Disebabkan ibu bapa saya warga pendidik, mereka sangat menekankan pendidikan berkualiti untuk anak-anak. Mereka mahu saya dan adik beradik lain cemerlang dalam pelajaran.
“Saya berpeluang hidup dalam zaman ketika Tanah Melayu baharu mencapai kemerdekaan. Semangat setia kaum pada waktu itu menebal dalam kalangan masyarakat pelbagai bangsa. Kami tunjukkan penghargaan terhadap kemerdekaan yang dicapai dengan menjadi satu negara bangsa.
“Dulu kita biasa melihat orang Melayu, Cina dan India duduk makan semeja. Bergurau kasar tanpa terasa hati. Ketika itu semua bangsa hidup setaraf, tiada yang kaya raya, semua hidup sama, sama ada miskin, atau sederhana. Kalau sambut perayaan, setiap kaum sambut bersama, tidak mengira Hari Raya Aidilfitri, Krismas, Tahun Baharu Cina atau Deepavali. Itu cara kami hidup dahulu,” kongsinya.
Kata Michael, meskipun kedua ibu bapanya bekerja sebagai guru, mereka turut menanamkan minat muzik kepada anak-anak. Katanya, muzik adalah minat yang mengalir dalam darah keluarga dan menjadi sebahagian hidup mereka.
“Minat kepada muzik tertanam dalam diri seawal saya berusia tiga tahun. Saya dibesarkan dalam keluarga yang dekat dengan muzik dan mendapat pendedahan daripada kedua ibu bapa saya yang pandai bermain piano dan biola.
“Lagu pertama yang saya dengar ketika zaman kanak kanak adalah lagu yang dimainkan di gereja. Namun, lagu komersial terawal yang saya dengar kebanyakannya daripada kumpulan The Beatles yang sering dimainkan di corong radio pada ketika itu.
“Zaman itu tiada kaset, cuma ada vinyl. Ketika itu tidak semua orang mampu memilikinya tetapi ia sangat popular. Saya terpaksa mengumpul wang untuk membeli vinyl yang ketika itu dijual pada harga RM20,” katanya.
Kata Michael lagi, dia beruntung kerana diberi pendedahan awal bermain piano ketika usia kanak-kanak lagi.
“Saya diperkenalkan kepada muzik piano klasik seawal umur empat tahun. Masa itu saya tidak tahu saya berbakat atau tidak, cuma terlalu minat dan gembira bermain piano. Dan saya tidak pernah menyangka akan menjadi pemuzik profesional.
“Ketika remaja, kalau ditanya tentang cita-cita, saya akan katakan bermain dalam sebuah band. Bagi saya bermain muzik bersama sekumpulan penggemar bidang yang sama adalah satu perkara yang menggembirakan,” katanya.
ONE THOUSAND MILLION SMILES
KATA Michael, dia mengambil masa selama dua minggu untuk menyiapkan lagu One Thousand Million Smiles atas permintaan Sudirman.
Kata beliau, lagu itu terlalu istimewa kerana ilhamnya datang dalam tempoh yang cukup singkat.
“Pada saya, lagu ini adalah kurniaan dari Tuhan yang tidak terhingga. Saya katakan pada Sudirman, kita kena hasilkan sebuah lagu yang original. Jadi saya hasilkan One Thousand Million Smile untuk beliau persembahkan di Royal Albert Hall.
“Pada pertandingan itu, Sudirman satu satunya peserta yang mempersembahkan lagu original. Jadi, saya hasilkan sebuah lagu yang simbolik dengan dirinya, seorang penyanyi yang membawa nama Asia ke tanah United Kingdom.
“Tuhan ilhamkan kepada saya tentang senyuman kita sebagai orang Asia. Tidak kira latar belakang bangsa, Cina, India, Melayu, ketika terkenal dengan senyuman.
“Dan lagu itu dinamakan One Thousand Million Smiles, dan liriknya tentang cinta yang kita bawakan sebagai orang Asia menerusi senyuman kita.
“Lagu itu dicipta khas untuk pertandingan tersebut. Sebuah lagu yang baik tidak perlukan masa yang lama untuk dihasilkan. Dengan bantuan penulis lirik, Paul, lagu itu kami siapkan dalam tempoh dua minggu sahaja,” ceritanya.










