BATU PAHAT: Masih ramai pencarum tidak mengetahui bahawa mereka layak menerima faedah caruman apabila berhadapan dengan pelbagai penyakit kronik ketika usia belum mencapai tempoh persaraan.
Keadaan ini berlaku apabila mereka tidak mempunyai kefahaman tentang kelayakan membuat tuntutan atas alasan sudah lama berhenti kerja selepas terkekang dengan komitmen berkeluarga.
Pengurus Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Batu Pahat, Suhara Mustaffa berkata, keadaan ini berlaku kepada Raonah Buang, 53, dan Rozila Onan, 46, masing-masing menghidap angin ahmar dan kencing manis sejak kira-kira dua tahun lalu.
Katanya, akibat daripada itu, dua suri rumah ini terpaksa menanggung sendiri kos peralatan pemulihan seperti kerusi roda dan lampin pakai buang sedangkan ia boleh diperolehi dengan percuma daripada PERKESO sekiranya memenuhi syarat kelayakan caruman di bawah skim keilatan.
“Hasil maklumat yang disiarkan Utusan Malaysia pada 10 Jun baru-baru ini, pihak Perkeso telah menjejaki kedua-dua orang berinsuran (OB) ini dan telah mengenal pasti kelayakan mereka.
“Untuk Raonah Buang, dia akan diberikan bantuan Ilat sepanjang hayat atau sehingga pulih semula yang meliputi barang-barang keperluan peralatan pemulihan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Suhara berkata demikian ketika mengiringi Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menyampaikan bantuan ilat kepada Raonah di rumahnya di Parit Jidin di Parit Sulong semalam.
Ujarnya lagi, untuk OB Rozila Onan yang tinggal di Kampung Bintang, Peserai akan dirujuk ke Jemaah Doktor bagi menentukan tahap keilatannya untuk menerima pencen ilat sepanjang hayat sekiranya telah disahkan mengidap keilatan.
“Semoga dengan faedah caruman yang diterima oleh dua orang suri rumah ini akan dapat membantu mereka menyediakan barang-barang pemulihan pada masa-masa akan datang.
“Sebagai maklumat, seandainya ditakdirkan Rozila Onan meninggal dunia sebelum tempoh persaraan, keluarga juga berhak menuntut Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Pencen Penakat daripada PERKESO,” katanya. – UTUSAN











