Beri ruang polis siasat dakwaan laporan kes Zayn Rayyan tular - Utusan Malaysia

Beri ruang polis siasat dakwaan laporan kes Zayn Rayyan tular

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beri ruang kepada pihak polis untuk menyiasat sekiranya terdapat dakwaan kebocoran laporan siasatan berhubung kes Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin di media sosial.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi dalam menjalankan sebarang siasatan.

Beliau berkata, proses penyiasatan perlu dilaksanakan dengan penuh cermat dan berhati-hati.

“Sekiranya benar ia seperti didakwa, beri ruang kepada pihak polis melakukan siasatan dan mengesan bagaimana berlaku.

“Perkara seumpama ini merupakan satu elemen yang boleh mencacatkan proses penyiasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini.

Dalam pada itu, Saifuddin turut mengingatkan masyarakat agar memastikan sebarang maklumat berkaitan kes pembunuh Zayn Rayyan daripada sumber pihak berkuasa.

Jelas beliau, pendedahan yang tidak sahih hanya akan mencipta sentimen dan tanggapan tersendiri dalam kelompok masyarakat.

“Dengan sentimen dan harapan rakyat tetapi tidak boleh ketepikan prinsip dan nilai keadilan dalam proses siasatan.

“Ini kerana harapan orang ramai berhubung kes Zayn Rayyan sememangnya tinggi dan dakwaan tindakan membocorkan maklumat siasatan akan mengganggu proses siasatan yang masih dijalankan.

Menurut Saifuddin, sekiranya kes itu terganggu dengan perkara-perkara yang tidak diketahui kesahihannya, ia boleh mencetuskan kegusaran awam.

Tegas beliau, pemikiran rakyat tidak boleh berasaskan kepada persepsi tanggapan dan tidak sahih kebenarannya.

Untuk itu beliau berkata, semua siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa negara perlu dilaksanakan secara profesional dan tidak mengenepikan prinsip keadilan.

“Percayalah, saya sentiasa menerima maklumat terkini dan perkembangan baharu berhubung kes-kes besar yang dikendalikan oleh pihak berkuasa negara.

“Tidak ada keraguan berhubung usaha keras pihak polis dalam mengendalikan penyiasatan dengan kadar segera, namun tidak mengenepikan prinsip profesional dan adil,” ujar beliau.

Semalam, tular di media sosial tangkap layar yang didakwa laporan siasatan membabitkan kes Zayn Rayyan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dilaporkan berkata polis akan menyiasat pihak yang bertanggungjawab menyebarkan tangkap layar berkenaan.

Selain itu, polis turut mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk menurunkan tangkap layar berkenaan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×