SAUDARA PENGARANG,
SEPERTI yang kita sedia maklum, dunia bergerak semakin pantas, teknologi berkembang semakin pesat seiring dengan lidah dalam mengungkapkan kata-kata kesat. Ini menjadi bukti bahawa perubahan berikut tidak hanya mengubah kaedah komunikasi, malah turut mempengaruhi cara berinteraksi dan tingkah laku individu seperti ucapan kebencian.
Tanpa disedari, ucapan kebencian ini boleh disamakan dengan racun atau dadah yang berbahaya kerana kesannya yang meluas dan berlarutan.
Dalam pada itu, media sosial menjadi pengaruh yang amat kuat hingga berjaya mengawal fikiran dan mengisi jiwa masyarakat. Lebih malang, kandungan-kandungan yang terdapat di media sosial mampu memberi impak yang besar terhadap emosi dan pandangan individu.
Kesannya, masyarakat acap kali berdepan dengan pertarungan antara realiti dan persepsi yang dibentuk oleh media. Tidak hanya setakat itu, pandangan orang ramai terhadap sesuatu isu juga akan dipengaruhi oleh ucapan kebencian ini dan akhirnya akan mendorong kepada permusuhan dan jenayah kemanusiaan yang tidak terkawal.
Individu yang melakukan ucapan kebencian secara dalam talian juga mendorong terjadinya buli siber yang kian menjadi-jadi pada masa kini.
Antara isu hangat yang menjadi penyebab berlakunya gejala buli siber dalam kalangan pelajar adalah isu perkauman, taraf hidup, perkongsian gambar atau video yang tidak sesuai.
Mereka yang melakukan kegiatan ini adalah untuk kepuasan diri bagi mendapatkan populariti atau kuasa daripada rakan sebaya. Kegagalan pihak tertentu dalam mengambil inisiatif untuk menangani isu ini menyebabkan keadaan akan menjadi semakin sukar untuk diatasi.
Terdapat tiga undang-undang yang berkait dengan isu kesalahan penyebaran ucapan kebencian antaranya Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 Akta Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Dalam Islam, wujud satu tuntutan yang menyuruh umatnya untuk mengeluarkan perkataan dan ucapan yang baik kerana ia merupakan perbuatan terpuji dan mendatangkan kebaikan. Allah SWT memerintah untuk mengucapkan perkataan yang baik dan memberi kesenangan kepada orang lain. Ini terbukti dalam surah al- Baqarah, ayat 83 Allah SWT berfirman: “Ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia.”
Maka, fikir kembali apa yang ingin diperkatakan. Adakah ia memberi kebaikan mahupun kemudaratan.
FATIN NABILAH ANUAR
Komunikasi dan Pengajian Media (Pengiklanan)
Universiti Teknologi Mara (UiTM)










