Empat ahli Geng Apek aktif curi motosikal - Utusan Malaysia

Empat ahli Geng Apek aktif curi motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan kegiatan mencuri motosikal didalangi Geng Apek yang bergiat aktif di sekitar Sentul dalam Op Lejang Khas di sekitar Lembah Klang pada 13 dan 14 Mei lalu.

Operasi dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Risikan/ Operasi/ Rekod (D4) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis (IPD) Sentul turut menahan empat indvidu termasuk seorang wanita berusia 27 hingga 38 tahun.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, siasatan mendapati modus operandi sindiket diketuai lelaki berusia 35 tahun dikenali sebagai Apek mensasarkan motosikal jenama Yamaha khususnya di sekitar Sentul.

Katanya, kumpulan yang bergiat aktif sejak enam bulan lalu mensasarkan motosikal sebelum seorang daripada suspek mencuri kenderaan terbabit.

“Kesemua motosikal akan dileraikan di kediaman suspek sebelum komponen dijual manakala rangka dibuang ke semak.

“Kesemua suspek mempunyai 18 rekod lampau melibatkan kes curi dan kesalahan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Sentul hari ini.

Menurut Ahmad Sukarno, pihaknya turut merampas empat motosikal; lapan rangka motosikal; dua enjin; dua alas tempat duduk; lima telefon bimbit, dua spanar dan tiga batang besi disyaki diubah suai dan kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM50,000.

“Kesemua suspek direman bermula 14 Mei hingga 8 Jun sebelum diserahkan kepada IPD Brickfields untuk siasatan kes lain.

“Dalam penahanan ini, kita berjaya menyelesaikan 16 kes kecurian yang melibatkan 15 di Kuala Lumpur dan satu di Selangor,” katanya.

Justeru, Polis Kuala Lumpur mengingatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan ibu negara.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×