Rakyat Malaysia usahawan katering di Arab Saudi

Rakyat Malaysia usahawan katering di Arab Saudi

SULAIMAN Ismail membantu pekerjanya memasak makanan di Mekah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Bagi Sulaiman Ismail, 44, perkataan mengalah tidak pernah ada dalam dirinya walaupun tahu cabaran besar perlu ditempuh sejak hari pertama memulakan perniagaan di Arab Saudi.

Malah, pengalaman ditipu dan kehilangan punca pendapatan ketika Covid-19 hakikatnya menjadikan anak jati Banting, Selangor ini lebih kental demi mencari rezeki di negara orang.

Bagi pemilik syarikat Ibtisam Catering ini, dia juga sudah lali dengan cara dan budaya masyarakat di negara ini jika dibandingkan ketika mula-mula datang ke Mekah lebih 15 tahun lalu.

“Saya mula berniaga katering di Mekah pada tahun 2011. Pada masa itu, saya masak makanan untuk jemaah umrah. Memang mencabar sebab saya datang menggunakan visa umrah dengan turut disertai empat tukang masak lain.

“Jadi apabila menggunakan visa umrah, kami perlu berpatah balik Malaysia setiap 29 hari dan ia berlaku selama enam bulan sebelum saya menerima permit penduduk tetap Arab Saudi serta dapat berniaga dengan lebih tenang. Pada masa itu jugalah rezeki bertambah sehingga berjaya membuka perniagaan di Mekah dan Madinah pada tahun 2012,” katanya.

Bagaimanapun, perniagaan Sulaiman tidak dapat bertahan sehingga memaksanya menutup operasi di Madinah selepas dua tahun menjalankan perniagaan di sana.

“Selepas saya tutup di Madinah, saya beri tumpuan perniagaan di Mekah sahaja sehinggalah ketika penularan Covid-19.

“Saya sekali lagi ditimpa masalah sehingga menyebabkan perniagaan ditutup selama dua tahun,” jelasnya.

Dia akhirnya berjaya bangkit semula sehingga kini dengan mempunyai hampir 50 pekerja selain mampu membekalkan makanan bermasak untuk 5,000 jemaah di bawah kendalian 19 syarikat pengelola jemaah haji (PJH) untuk musim 1445H/2024M. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×